Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Persiapan-persiapan bagi menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 yang akan diadakan pada 23 Februari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan kini sedang giat dilaksanakan.
Sehubungan itu, ahli jawatankuasa diseru dapat bekerjasama dan berganding bahu memastikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, tahun ini berjalan dengan lancar, teratur dan berhemat dalam suasana yang penuh kegembiraan dan kemeriahan.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa berucap mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, tahun 2023 di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini.
Ia merupakan kesinambungan kepada mesyuarat terdahulu, yang turut membincangkan persediaan raptai-raptai yang akan dilaksanakan khususnya keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja ke majlis-majlis utama sambutan iaitu Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin serta Membaca Doa Kesyukuran.
Selain itu, upacara perhimpunan agung termasuk konsep persembahan dan Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan serta persediaan acara-acara sambutan, seperti Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera serta acara-acara sampingan iaitu Majlis Khatam Al-Quran 39 Kali, juga dibincangkan.
Yang Berhormat Dato menyatakan, berbekalkan semangat patriotisme dan kenegaraan yang tinggi, serta berdasarkan kepada pendekatan senegara, musyawarah dan kesepakatan, semua yang terlibat akan dapat bekerjasama dan berganding bahu dalam memastikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan lancar dan teratur.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap; ahli-ahli dan wakil ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

