Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Persiapan sambutan HK ke-38 dibincangkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan untuk berangkat bercemar duli ke majlis-majlis utama Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam ke-38, tahun 2022.

    Ini termasuk Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran serta Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38.

    Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 menjelaskan bahawa format sambutan pada tahun ini adalah berbeza dari tahun lalu dengan mengambil kira situasi COVID-19 dan negara sedang berada di Fasa Awal Endemik dengan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang lebih ketat ke arah melindungi kemaslahatan semua pihak yang memerlukan negara untuk sentiasa berwaspada.

    Pada sidang media di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, kelmarin, acara kemuncak sambutan iaitu perhimpunan agung akan diadakan pada 23 Februari di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, bermula 9 pagi.

    Untuk sambutan tahun ini, lapan kumpulan yang melibatkan lebih kurang 3,800 peserta dijangka akan turut serta dalam acara perbarisan lalu.

    Antara ahli jawatankuasa yang hadir pada sidang tersebut bagi menjelaskan mengenai format sambutan tahun ini yang berbeza dari tahun lalu dengan mengambil kira situasi COVID-19.

    Kumpulan-kumpulannya adalah Kepala Perbarisan, Keamanan Negara, Masyarakat Bestari, Sektor Awam dan Swasta, Sektor Pendidikan, Pergerakan Awam, Kayuhan Basikal berserta In-line Skates dan Barisan Hadapan (Frontliners).

    Persembahan tema pada perhimpunan agung tahun ini bertajuk ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ yang akan mengetengahkan persembahan lagu-lagu patriotik beramai-ramai dipersembahkan oleh seramai 2,500 orang peserta, termasuk 2,000 peserta terdiri daripada peserta yang terlibat dalam perbarisan lalu.

    Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran pula akan diadakan pada 22 Februari bermula 5:45 petang di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Beliau menjelaskan, tema sambutan pada tahun ini dikekalkan seperti tahun lalu iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

    Tema ini sememangnya masih kekal relevan dalam perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035.

    Sementara itu, logo sambutan tahun ini adalah berbentuk sekuntum bunga yang menandakan semangat kebangsaan, bersatu padu dan bekerjasama dalam kalangan rakyat dan penduduk ke arah menanai pembangunan negara-bangsa.

    Logo berkenaan adalah hasil karya Awangku Mohammad Hazeq bin Pengiran Abdul Aziz yang telah memenangi Pertandingan Mencipta Logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-38.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...