Persiapan sederhana masyarakat Mesir bagi bulan Ramadan

KAHERAH – Ketika dunia masih bergelut dengan permasalahan wabak COVID-19, seluruh umat Islam di seluruh dunia didatangi dengan bulan penuh kerahmatan, bulan Ramadan.

Namun berikutan pembendungan penularan wabak ini banyak perkara yang lazimnya dilakukan setiap bulan Ramadan terpaksa dihadkan.

Ini kerana sebahagian besar negara masih dalam perintah berkurung dan banyak masjid, surau dan balai ibadatnya terpaksa ditutup sementara. Malah, bazar Ramadan, di mana tempat umat Islam membeli juadah berbuka puasa terpaksa ditiadakan pada tahun ini. Namun, dengan perintah penutupan tempat beribadat dan bazar Ramadan tidak bermaksud kita tidak menyambut bulan yang mulia ini dengan penuh kegembiraan.

Kita boleh saja menghidupkan sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan amal ibadat di rumah masing-masing bersama keluarga dan kita masih boleh saja memeriahkan suasana bulan puasa. Sebagaimana di Kaherah, dengan kedatangan bulan Ramadan, umat Islam di Mesir harus melakukan persiapan yang sederhana untuk menyambut bulan paling suci dalam kalendar Islam kerana penularan wabak koronavirus.

Selama sebulan Ramadan, umat Islam biasanya menghindarkan diri dari makan dan minum dari terbit hingga terbenamnya matahari. Sudah menjadi tradisi lama bagi orang Mesir untuk berkumpul di pasar untuk membeli makanan dan pelbagai jenis manisan, gula-gula dan minuman ringan.

Seorang peniaga menjual barang-barang keperluan berbuka puasa di salah sebuah gerai di pasar Kaherah. – Xinhua
Tanglung merupakan salah satu hiasan pada bulan Ramadan yang biasa menjadi perhiasan rumah orang-orang di Mesir bagi memeriahkan bulan Ramadan. – Agensi

Namun, perniagaan di pasaran tahun ini agak perlahan kerana jumlah pelanggan yang rendah sejak pemerintah Mesir mula mengambil langkah-langkah anti-COVID-19 yang ketat pada bulan Mac lalu, termasuk perintah berkurung pada waktu malam.

“Tahun ini sama sekali berbeza. Wabak koronavirus mempengaruhi rutin harian kita dan mengurung kita di rumah, tetapi tradisi Ramadan yang menggembirakan masih dapat dipertahankan,” kata Ghada, seorang guru berusia 32 tahun, sambil memerhatikan anak-anaknya mengambil perhiasan untuk bulan Ramadan di sebuah kedai di daerah kelas atas Maadi,Kaherah.

Selepas kunjungan singkat ke dalam kedai, ibu ber-umur pertengahan tahun itu membeli tanglung tradisional Ramadan untuk anak-anaknya dan merancang menghiasi rumah dengan hiasan berwarna-warni untuk memberi kebahagiaan kepada keluarganya di tengah keadaan sukar oleh penularan virus yang membinasakan itu.

Seperti setiap tahun, Ghada juga membeli Ramadan Yamish, kacang tradisional dan buah kering, yang biasanya disajikan pada bulan puasa.

“Tetapi saya membeli Yamish yang dibungkus untuk mempromosikan langkah-langkah kebersihan dan mengelakkan kemungkinan penyebaran virus,” katanya.

Mahmoud Azmi, pemilik kedai runcit di Maadi, lebih memfokuskan diri untuk menjual makanan dalam tin dan berbungkus untuk menarik pelanggan. Dengan memakai sarung tangan dan penutup mulut dan hidung, Azmi berkata, pelanggan mula membeli barang makanan yang biasanya dimakan pada bulan Ramadan, terutama kekacang dan minuman.

“Saya menjangkakan lebih banyak pelanggan akan datang membeli dalam dua minggu akan datang,” kata Azmi sambil menyemburkan tangan pelanggan dengan gel pembasmi kuman, dan menyatakan bahawa hanya sedikit pembeli muncul musim ini.

Mesir setakat ini mengesahkan 3,490 kes COVID-19, termasuk 264 kematian dan 870 pemulihan. Negara itu kini melaksanakan perintah berkurung selama 10 jam di seluruh negara selama dua minggu hingga 23 April lalu berikutan kebimbangan terhadap COVID-19. Perintah berkurung dijangkakan dilanjutkan pada bulan Ramadan untuk membantu membendung penularan koronavirus.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Mesir mengatakan semua aktiviti keagamaan jemaah, termasuk solat berjemaah di masjid, akan terus ditangguhkan pada bulan Ramadan. Kegiatan awam lain yang dirancang untuk bulan itu, termasuk jamuan amal untuk orang yang memerlukan juga ditangguhkan.

Dalal Sobhy, seorang suri rumah berusia 45 tahun, lebih suka mengelakkan sebarang kontak sosial yang tidak perlu dan cenderung membuat perhiasan bulan Ramadan dengan barang-barang sangat sederhana yang terdapat di rumah.

Dia membiarkan anak-anaknya memotong kertas kecil, mewarna dan melekatkannya bersama untuk membuat bentuk yang berbeza.

“Saya menggunakan perhiasan tahun lalu untuk meja dan dinding ruang makan, dan menggantung hiasan buatan sendiri di ruang tamu,” kata Sobhy kepada media.

Dia menjelaskan bahawa anak-anaknya sangat suka membuat perhiasan itu, yang dapat membantu menghilangkan kebosanan mereka selama beberapa waktu.

“Kami akan kehilangan banyak kebahagiaan dan hiburan tahun ini, terutama jamuan bersama keluarga,” kata wanita itu dengan sedih, berharap penutupan dan perintah berkurung akan segera berakhir. – Xinhua