Monday, January 20, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapan warga Sabah sambut Krismas meriah

    KOTA KINABALU, 22 DIS – Menjelang tiga hari sebelum tibanya Hari Krismas pada Sabtu, penganut agama Kristian di Kota Kinabalu dilihat tidak melepaskan peluang untuk membuat persiapan bagi menyambut perayaan itu bersama keluarga dan sahabat handai.

    Kemeriahan persiapan Hari Krismas pada tahun ini juga lebih dirasai berbanding tahun lepas yang agak ‘sunyi’ kerana tidak ramai mengunjungi pasar raya mahupun pusat beli-belah untuk membeli barangan keperluan berikutan prosedur operasi standard (SOP) perayaan itu yang ketat akibat COVID-19.

    Tinjauan Bernama di beberapa tempat di sekitar bandar raya ini mendapati penganut agama Kristian sibuk membeli barangan keperluan persiapan Hari Krismas seperti kuih-muih, pakaian dan kasut baharu, hadiah dan hiasan pokok Krismas.

    Bagi Jonathan Lim, 39, dari Penampang, Hari Krismas pada tahun ini akan disambut dengan lebih meriah tetapi secara sederhana bersama keluarga tercinta memandang-kan aktiviti kunjung-mengunjung dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

    “Saya sudah membuat persiapan untuk menyambut Krismas seperti membeli kuih-muih, selain hiasan pokok Krismas untuk dekorasi rumah. Saya jangka sambutan Krismas pada tahun ini akan lebih meriah berbanding tahun lepas kerana (tahun ini) aktiviti kunjungan ke rumah (dibenarkan).

    “Walaupun hanya tiga jam, tetapi ia memadai kerana sekurang-kurangnya boleh berjumpa serta bermesra bersama keluarga dan rakan-rakan. Tuan rumah mungkin kena atur masa untuk setiap kunjungan selain perlu terus mengingatkan para tetamu supaya sentiasa mematuhi SOP,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

    Fred Steve, 19, dari Kudat juga gembira dapat menyambut Krismas pada tahun ini dan turut membuat persiapan dengan membeli baju serta kasut baharu untuk dipakai pada Hari Krismas nanti.

    Kerajaan Sabah membenarkan kunjungan tetamu ke rumah sempena Krismas dan Tahun Baharu dengan SOP ditetapkan termasuk pengunjung perlu lengkap vaksin COVID-19, selain tempoh setiap kunjungan tidak melebihi tiga jam dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi 30 minit sebelum menerima kunjungan seterusnya. – Bernama

    Fred Steve, 19, dari Kudat membeli-belah sebagai persiapan sambutan Kristmas di Kota Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda