Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dengan harapan membantu pelajar mempersiapkan diri untuk menempuhi pembelajaran di peringkat universiti, Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) baru-baru ini telah mengadakan webinar bertajuk Student Survival Guide, yang disampaikan oleh presiden persatuan, Awang Muhammad Najib bin Haji Latif.
Mengimbas kembali pengalamannya sendiri semasa belajar di universiti, Awang Muhammad Najib memberi tumpuan kepada beberapa aspek kehidupan universiti yang merangkumi cara mengurus penjadualan yang betul, cara bekerja dalam kumpulan dan langkah penting yang perlu diambil semasa membuat persediaan untuk prospek pekerjaan masa depan.
Webinar tersebut dihadiri oleh 65 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Brunei seperti Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Webinar itu mendapat sambutan yang baik oleh para peserta dan ada yang menyatakan bahawa ilmu yang diperoleh semasa webinar bermanfaat untuk mereka mempersiapkan diri dengan lebih baik semasa belajar di peringkat universiti kelak.
Salah seorang peserta, Dayang Nur Shodiiqoh binti Mohd Suaib, berkata, “Secara peribadi, program ini berkongsi dan menjawab semua soalan serta memenuhi objektif. Persekitarannya sangat menyeronokkan dan menarik, dan penyampainya juga memberi motivasi!”
Beberapa peserta juga telah menekankan bahawa mereka memperoleh kemahiran sepanjang hayat yang akan melangkaui kehidupan universiti.
Dayang Nur Zulfaa Insyirah binti Dzulkifli, berkata ia merupakan program yang interaktif dan ilmu yang disampaikan bukan sahaja bermanfaat semasa menjalani pengajian di universiti tetapi juga selepas tamat pengajian.
Persatuan KESAN menawarkan pelajar untuk menyertai program bimbingan di bawah Catalyst di mana mereka akan dibimbing mentor KESAN. Program ini juga diisikan dengan aktiviti bulanan untuk menyokong dan mengembangkan lagi keupayaan para pelajar.