Tuesday, March 21, 2023
21.6 C
Brunei

-

Persiapkan rohani menjelang Ramadan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Menjelangnya bulan suci Ramadan Al-Mubarak ini, kita hendaklah mempersiapkan diri dari segi rohani.

“Ada tiga perkara rohani yang perlu dipersiapkan,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjelang Ramadan Al-Mubarak’.

Tiga perkara itu, katanya, yang pertama adalah mempertingkatkan amal ibadat seperti memperba-nyakkan puasa sunat, memperbanyak sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, qiamullail dan seumpamanya.

Kedua, mendalami ilmu agama khususnya dalam perkara ibadat puasa seperti hukum-hukum puasa dan adab-adabnya; dan ketiga mengqada puasa wajib.

“Setiap orang mukalaf yang meninggalkan puasa Ramadan sama ada disebabkan keuzuran seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan berbuka puasa tanpa keuzuran adalah diwajibkan untuk mengqada puasa sebanyak hari yang telah ditinggalkannya itu.”

“Manakala bagi orang-orang yang benar-benar tidak terdaya untuk mengqada puasa seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, mereka tidak diwajibkan untuk mengqada puasa yang ditinggalkannya itu, akan tetapi wajib bagi mereka untuk membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan,” tegas khatib.

Khatib turut menjelaskan bahawa sesiapa yang masih belum mengqada puasa Ramadan pada tahun lepas, maka seeloknya mengambil kesempatan mengqadanya pada bulan Syaaban ini agar terlepas daripada membayar fidyah.

Tekannya, fidyah bererti bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqada puasa Ramadan sehingga masuk Ramadan berikutnya.

Oleh itu, jika kita masih mempunyai qada puasa Ramadan yang lalu dan belum ditunaikan, maka tunaikanlah hutang-hutang puasa itu semasa kita masih sihat dan bertenaga sebelum tibanya bulan Ramadan ini.

“Semoga dengan tibanya Ramadan pada tahun ini, kita akan dapat melaksanakan amal ibadat dengan sempurna dan mendapat ganjaran yang berlimpah kali ganda serta mendapat rahmat daripada Allah SWT, Aamiin Ya Rabbal Alamiin,” ujar khatib.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Paras oksigen kurang punca jutaan ikan mati

CANBERRA, AUSTRALIA, 19 MAC – Berjuta-juta ikan telah mati dihanyutkan di tenggara Australia dalam kematian yang menurut pihak berkuasa dan saintis berpunca daripada paras...
- Advertisment -