Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PERSIB terus komited

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam (PERSIB) terus komited memastikan perkembangan seni bela diri silat di negara ini dengan mengadakan beberapa lagi kejohanan tempatan dan penyertaan domestik serta antarabangsa.

    Perkara itu antara yang disentuh oleh Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin ketika ditemui sejurus selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERSIB di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

    Antara agenda yang disentuh oleh beliau ketika mempengerusikan mesyuarat itu adalah mengenai penganjuran Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun 2018

    Menurut beliau, beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh lapan pasukan termasuk empat pasukan daerah, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam dan pasukan institusi pengajian tinggi.

    “Pertandingan kali ini akan menampilkan silat cekak asli Brunei dan kuntau sebagai acara kemuncak dan dijangka bermula pada hujung bulan Jun hingga awal Julai 2018 ini nanti manakala peringkat kebangsaan berlangsung 27 Julai sehingga 1 Ogos 2018 nanti,” ujar beliau.

    Gambar serahan PERSIB menunjukkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, kelmarin.

    Tambah beliau, tahun ini pertandingan cekak asli dan kuntau remaja dikekalkan serta kategori tanding, seni tunggal, ganda dan regu dengan satu lagi tambahan kategori iaitu kategori kumpulan yang menampilkan lima pesilat dalam satu pasukan.

    Peraturan kebanyakannya masih dikekalkan berdasarkan peraturan persekutuan silat antarabangsa dan katanya mesyuarat kali ini lebih cenderung kepada mengumpulkan pengurusan dan kejurulatihan bagi penyertaan Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Penganjuran kali ini merupakan salah satu cara bagi PERSIB untuk terus mencari bakat-bakat baharu yang boleh menyarung jersi pasukan kebangsaan dan saya harap semua akan membuat yang terbaik dalam pertandingan pada kali ini,” ujarnya lagi.

    Sebelum mengakhiri temu bualnya beliau mengambil kesempatan untuk menyampaikan salam Aidilfitri kepada seluruh gabungan pencak silat negara Brunei Darussalam serta pihak berkepentingan yang sentiasa mendukung dan menyokong usaha PERSIB serta seluruh warga PERSIB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda