Persidangan BICAM ke-2 pada 2 Jun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Malaysia, dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), akan mengadakan Persidangan Pasaran Modal Islam Brunei Darussalam (BICAM) ke-2 pada 2 hingga 3 Jun.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh BILIF dan AMBD, bagi menyokong inisiatif Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam pengendalian Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun (MYCE) Brunei, BICAM 2021 akan diadakan pada minggu pertama acara tersebut yang bertemakan Minggu Islam.

BICAM merupakan sebuah platform untuk memberi pendedahan kepada kredibiliti dan keupayaan ahli industri tempatan dalam sektor pasaran modal Islam. Persidangan itu bermatlamat untuk membincangkan isu-isu dan cabaran-cabaran yang relevan berkaitan pasaran modal Islam terutama dalam konteks Negara Brunei Darussalam dan seterusnya mempromosikan strategi-strategi ke arah kedayatahanan, kelestarian dan keterangkuman ekosistem pasaran modal Islam.

Para peserta juga akan berpeluang untuk mengetahui pengalaman negara-negara lain mengenai kesan perkembangan pasaran modal terhadap ekonomi negara. BICAM adalah selaras dengan salah satu objektif Pelan Pembangunan Sektor Kewangan (FSBP) Brunei Darussalam 2016-2025 untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran modal Islam tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa. Dengan mengambil kira pandemik global COVID-19 dan langkah-langkah keselamatan serta pencegahan yang sedang dilaksanakan di negara ini, BICAM 2021 akan diadakan secara hibrid, yang mana penceramah dan peserta tempatan akan menghadiri persidangan tersebut secara fizikal sementara penceramah dan peserta antarabangsa akan menyertainya secara maya.

Tambah kenyataan itu lagi, antara organisasi yang akan turut serta dalam persidangan itu adalah AMBD, Universiti Brunei Darussalam (UBD), INCEIF Malaysia, Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) Arab Saudi dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Amerika Syarikat. Persidangan itu akan membincangkan pelbagai topik termasuk ‘Membangun Pasaran Modal Islamik yang Mapan dan Inovatif’, ‘Penyejajaran antara Kewangan Mapan, Hijau dan Islamik: Isu dan Cabaran’, dan ‘Menembusi Pasaran Halal: Peluang, Cabaran dan Daya Maju Kewangan Sosial Islamik sebagai Instrumen Pertumbuhan Ekonomi’. Dalam hubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai BICAM 2021 boleh menghubungi BILIF tidak lewat dari 22 Mei melalui e-mel [email protected] atau talian hotline 8171140. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai persidangan berkenaan, ia akan dikongsi melalui laman sesawang BILIF di www.bilif.com.bn.