Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Persidangan Bincang cabaran perniagaan mampan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Dalam memastikan masa hadapan hijau yang mampan, tindakan perlu diambil bagi menangani kebimbangan alam sekitar, mempromosikan kemampanan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

    Seruan itu dibuat oleh Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBD SBE), Dr Haji Masairol bin Haji Masri dalam ucapan alu-aluannya pada perasmian Persidangan Antarabangsa bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) ke-4 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Faezah binti Haji Ahmad; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, pegawai-pegawai kanan, jemputan khas serta peserta-peserta persidangan daripada sektor awam dan swasta merangkumi ahli akademik, pengamal, penggubal dasar dan pelajar-pelajar penyelidikan.

    Pada persidangan itu, ucaptama bertajuk Business, Economics and Finance in a Turbulent Transition to Net Zero telah disampaikan oleh John Curtin Distinguished Professor, Sustainability Policy Institute and Faculty of Humanities, Curtin University Australia, Profesor Peter Newman.

    Profesor Peter Newman menyampaikan ucaptama di persidangan yang berlangsung di Bilik Senat, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina bergambar ramai dengan pembentang ICBEF ke-4 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara yang menghadiri persidangan tersebut. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Dalam ucaptama itu, Profesor Peter Newman mengongsi pandangannya mengenai isu-isu kritikal dan cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh penyelidik, penggubal dasar, perniagaan dan masyarakat dalam mencapai matlamat peralihan kepada sifar bersih.

    Persidangan diteruskan dengan beberapa sesi selari mengenai isu-isu penting iaitu Keusahawanan Mampan, Pelaburan Hijau dan Mampan, Kepimpinan dan Urus Tadbir, Kemampanan Alam Sekitar dan Sikap Pengguna, Ekonomi Sekular, Kewangan dan Pendigitalan, Hospitaliti dan Pelancongan serta Etika dan Urus Tadbir Korporat.

    Di samping itu, satu sesi perbincangan panel bertajuk The Role of Financial Regulators and Institutions in Achieving Sustainable Green Future turut diadakan yang mengetengahkan Profesor Peter Newman; Pengurus Kanan Pembangunan Kewangan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Dayang Nurul Hazwani binti Saifulbahri dan Pemangku Ketua Pengurusan Aset Institusi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Securities, Dayang Nur Ezza binti Haji Mohd Han.

    Ahli-ahli panel berkenaan telah mengongsikan pandangan mereka mengenai peranan penting pengawalseliaan kewangan dan institusi dalam pembiayaan perubahan iklim.

    Persidangan dua hari yang membawa tema ‘Masa Depan Hijau yang Mampan’ itu menyediakan sebuah platform bagi perbincangan isu-isu relevan tema persidangan khususnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh perniagaan berhubung perubahan iklim dan ketidakpastian masa hadapan yang lain dengan penyelesaian yang boleh berpotensi untuk dilaksanakan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...