Persidangan bincang hasil penyelidikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Persidangan Perniagaan Antarabangsa, Pengurusan dan Sistem Informasi (ICBMIS 2019) telah diadakan di Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan tema Sustainable Innovation in Business, Manangement and Information Systems.

Persidangan yang berlangsung dari 13 hingga 14 November 2019 telah disempurnakan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib. Ia memberi peluang kepada para akademik, pelajar penyelidikan, penggubal dasar dan pengamal berkongsi serta membincangkan penemuan penyelidikan mereka serta analisis kritikal mengenai isu semasa dalam pengurusan perniagaan dan sistem maklumat.

Haji Ady Syarmin dalam ucapan perasmiannya melahirkan keyakinan bahawa, “Melalui pertukaran akademik yang bukan hanya di kalangan sarjana tapi juga pelbagai pakar dari sektor swasta dan awam, rangkaian manusia juga akan menyumbang kepada penggabungan institusi asas demi pengukuhan kerjasama.”

Beliau seterusnya menjelaskan, Brunei merupakan negara yang kecil, bebas, kaya dengan minyak yang terletak di antara Negeri Sabah dan Sarawak di bahagian timur laut Malaysia pulau Borneo di Asia Tenggara. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, Brunei dianggap sebagai pasaran dan ekonomi membangun dengan keluaran dalam negara kasar per kapita AS$27,871.

Katanya lagi, “Ekonomi negara telah menyelaraskan harga minyak dan gas yang lebih rendah sejak 2014 dengan pihak berkuasa untuk menjalankan pembaharuan yang lebih meluas.”

Haji Ady Syarmin semasa menyampaikan ucapan pada perasmian ICBMIS 2019.

Pembaharuan ini, jelasnya, bertujuan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang dan ekuiti antara generasi di samping memupuk kepelbagaian ekonomi yang mana pertumbuhan dijangka meningkat pada 2019 dengan prospek bertambah baik dalam jangka sederhana, didorong oleh perkembangan dalam sektor minyak dan gas dan projek pelaburan besar.

Walau bagaimanapun, harga minyak dan gas yang lebih rendah daripada yang dijangkakan akan mengurangkan hasil dan eksport fiskal dengan lonjakan ketara kepada sektor bukan minyak dan gas. Beliau seterusnya menjelaskan, dengan beberapa isu perdagangan dan ekonomi melalui persidangan antarabangsa seperti ICBMIS, para sarjana dan pengamal di rantau ini dapat berbincang secara berkesan dan menawarkan perspektif yang baharu dalam isu kontemporari ini dan implikasi yang luas kepada masyarakat dan komuniti perniagaan khususnya. Peserta persidangan ICBMIS berpeluang mendengar kertas kerja daripada penceramah dari luar negara seperti Bangladesh, Malaysia, Filipina, Nigeria, Pakistan, Ghana dan Brunei.

Manakala kertas perdana disampaikan oleh Eksekutif Presiden Oxford Competition Economics, Mexico, Dr Victor Pavon-Villamayor dan Penyelidik Kanan, Big Data Analytics Lab of The National Institut Information and Communicaton Technology, Jepun, Dr Minh Son Dao.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Dekan UTB, Sekolah Perdagangan, Dr Haji Mohamed Saleem Haji Nazmudeen selaku pengerusi ICBMIS 2019.