Persidangan bincang impak pandemik COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Persidangan Ketua-ketua Pertahanan (CHOD) 2020 telah diadakan melalui sidang video selama dua hari, kelmarin dan hari ini, dengan tema Advancing Free and Open Indo-Pacific.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, persidangan dipengerusikan oleh Komander United States Indo-Pacific Command (US INDOPACOM), Laksamana Philip Davidson dan dipengerusikan bersama oleh Pemangku Komander Angkatan Tentera Republik Fiji, Laksamana Muda Viliame Naupoto.

Kenyataan menyatakan bahawa mewakili Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir semasa persidangan tersebut ialah ketua staf ABDB, pengarah perisikan Kementerian Pertahanan dan ketua pegawai perubatan ABDB.

Persidangan telah membincangkan status kolaborasi terkini ke arah mewujudkan strategi Free and Open Indo-Pacific di mana ucapan perasmian telah disampaikan oleh Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama sementara ucaptama telah disampaikan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Dr Mark Esper.

Selain itu, ketua-ketua pertahanan juga telah membincangkan impak pandemik COVID-19 terhadap persekitaran strategik termasuk implikasinya terhadap sekuriti kebangsaan, ancaman transnasional berkaitan dengan kesihatan serta implikasi teknologi mudah alih 5G terhadap sekuriti kebangsaan.

Persidangan berkenaan melibatkan 27 buah negara iaitu Australia, Bangladesh, Brunei, Kemboja, Kanada, China, Perancis, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Maldives, Mexico, Mongolia, Nepal, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Tonga, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan mewakili ABDB semasa Persidangan Ketua-ketua Pertahanan (CHOD) 2020 yang diadakan secara sidang video selama dua hari bermula 25 hingga 26 Ogos. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan