Persidangan bincang masa depan kerja pasca COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong telah menyertai Asia-Pacific Regional Event for the ILO Global Summit on COVID-19 and the World of Work, menerusi persidangan video, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini, acara itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder dan diperkenalkan oleh Penolong Setiausaha Agung ILO dan Pengarah Serantau bagi Asia dan Pasifik, Tomoko Nishimoto.

Semasa mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin bersama-sama menteri-menteri buruh rantau Asia Pasifik, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta wakil-wakil majikan dan pekerja mendengar dua perbincangan peringkat tinggi dan sesi huraian mengenai masa depan kerja dan kajian kes serantau pasca COVID-19 mengenai pendekatan dasar ke arah menyokong perusahaan dan melindungi pekerja serantau.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Acara Serantau Asia-Pasifik berkenaan berakhir dengan huraian perbincangan dan senario yang berasaskan kepada Deklarasi Centenary ILO untuk memberikan panduan bagi tindakan masa hadapan ILO bagi rantau berkenaan.

Di antara 1 hingga 2 Julai dan 7 hingga 9 Julai, Sidang Kemuncak Global bagi COVID-19 dan Dunia Pekerjaan ILO dijadualkan untuk merangkumi sesi bagi lima buah rantau, Hari Serantau, Hari Pemimpin Global dan Hari Ahli ILO (ILO Constituents’ Day).

Kenyataan menyatakan bahawa delegasi Brunei juga termasuk Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kebajikan dan Undang-undang), KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, KHEDN, Haji Azmi bin Haji Hafneh; Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhd Saufi bin Haji Ibrahim; Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Rozan Justin Teo bin Haji Azlan serta pegawai-pegawai dari KHEDN dan Jabatan Buruh.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyertai Asia-Pacific Regional Event for the ILO Global Summit on COVID-19 and the World of Work, menerusi persidangan video, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri