Persidangan bincang perpaduan ummah Islam

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDARS SERI BEGAWAN, 24 OKT – Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-35, 2021 yang berlangsung secara maya, baru-baru ini, telah membincangkan mengenai ‘Perpaduan Islam, Keamanan dan Mengelakkan Perpecahan serta Pertikaian Dalam Dunia Islam’.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned telah menghadiri persidangan berkenaan yang diadakan dalam bentuk webinar dan melalui ruang siber yang berpusat di Republik Islam Iran, bermula 19 Oktober lalu hingga hari ini.

Jabatan Mufti Kerajaan dalam kenyataan yang dikeluarkan memetik kenyataan daripada laman web persidangan tersebut, persidangan antara lain bertujuan untuk mewujudkan perpaduan dan kesetiakawanan dalam kalangan umat Islam di samping mengembangkan ijmak dalam kalangan para ulama dan saintis demi penyelarasan ilmiah dan budaya mereka.

Persidangan juga mengemukakan penyelesaian praktikal untuk mencapai perpaduan Islam dan ummah Islam yang bersatu di dunia Islam dan menyelesaikan masalah umat Islam serta memberikan penyelesaian untuk mereka.

Peserta persidangan dipilih daripada kalangan elit dan tokoh terpelajar, menteri-menteri negara Islam, para ulama dan para mufti, profesor-profesor universiti dan masyarakat akademik dan budaya lainnya, di dalam dan luar negara.

Ratusan cendekiawan, ulama dan para pemikir Islam dari pelbagai negara seperti Perancis, Syria, Lebanon, Australia, Mesir, Malaysia, Sudan, Pakistan, India, Azerbaijan, UK, Jordan, Iraq, Indonesia, Gambia, Palestin, Afghanistan, Senegal, Libya, Bahrain, Algeria, Yemen, Yunani, Turki, Uganda, Kuwait, Qatar, Belanda, Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain turut mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan.

Penyertaan Yang Berhormat Pehin dalam persidangan berkenaan adalah atas undangan Setiausaha Agong World Forum For Proximity of Islamic Schools of Thought, Tuan Yang Terutama Dr Hamid Shahriari.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menghadiri persidangan Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-35 yang berlangsung secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Mufti Kerajaan