Persidangan bincang program UNESCO

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dengan tujuan membincangkan dan mengkaji semula dasar-dasar, aktiviti-aktiviti dan program-program di bawah UNESCO bagi tahun 2020-2021 dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan, Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) kali ke-41 telah membuka tirainya, baru-baru ini, bertempat di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis, dari 9 November hingga 24 November nanti.

Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali itu telah dihadiri oleh wakil-wakil dari 193 negara anggota. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Perancis, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof dan juga perwakilan tetap Negara Brunei Darussalam ke UNESCO bagi mewakili Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Di samping itu, persidangan turut menyaksikan perbahasan dasar melalui kenyataan kebangsaan di mana ketua delegasi dari negara-negara ahli UNESCO berpeluang untuk menyampaikan mengenai komitmen dan inisiatif yang dijalankan oleh negara-negara ahli dalam mendukung program-program di bawah UNESCO serta dalam merealisasikan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Semasa persidangan tersebut, PYT Datin Paduka Malai Hajah Halimah mengongsikan mengenai penubuhan Pusat Teknologi Pendidikan, sebelum wabak pandemik COVID-19, sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik 2018-2022 untuk menyokong penggunaan teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah melahirkan pelajar yang celik digital.

Di samping itu, Puan Yang Terutama juga turut menjelaskan mengenai Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan yang bertujuan untuk menjadikan pembelajaran digital sebagai norma baharu dalam sistem pendidikan negara. Pelan berkenaan telah menggariskan tiga bidang utama iaitu Education Technology, Management Technology dan Enabling Policies and Infrastructure.

PYT Datin Paduka Malai Hajah Halimah semasa menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung UNESCO kali ke-41 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan