Persidangan bincang status pelaksanaan projek

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof telah menghadiri Persidangan Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN dan Jepun ke-19 yang diadakan melalui sidang video, hari ini.

Persidangan dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah, General Department of Logistics, Ministry of Public Works and Transport, Kemboja, Chheing Pich selaku pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM) bagi 2021 dan Ketua Pengarah bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism (MLIT), Jepun, Yamagami Noriyoshi.

Semasa Persidangan itu, Profesor Projek di University of Tokyo, Nakamura Fumihiko telah menyampaikan ucapan bertajuk New transport mobi-lity in terms of the society of the post COVID-19. Dalam ucapannya itu, Nakamura Fumihiko menekankan keperluan bagi mempromosikan mobiliti bandar yang berdaya tahan dan mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada kereta persendirian dengan mengambil kira pengalaman serta perubahan cara hidup berikutan penularan pandemik COVID-19.

Persidangan itu membincangkan status perlaksanaan bagi projek-projek di bawah rangka kerja Perkongsian Pengangkutan ASEAN-Japan (AJTP) untuk pertimbangan menteri-menteri pengangkutan ASEAN dan Jepun. Ini termasuk deliverables bagi 2021 iaitu The Report under Proof of Concept (PoC) on ICT Solutions for Over-loaded Vehicle Control; dan ASEAN-Japan Guidelines of Certification Audits for Cold Chain Logistics. Di bawah inisiatif baharu bagi 2021 pula termasuk Utilization of Big Data to Improve Mobility.

Persidangan berkenaan adalah sebagai persiapan untuk STOM+Japan ke-20 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan Jepun (ATM+Japan) ke-19 yang dijadualkan diadakan pada November depan. Persidangan berkenaan adalah platform tahunan yang diterajui oleh MLIT, Jepun bagi membincangkan inisiatif-inisiatif pengangkutan dibawah rangka kerja AJTP.

Turut hadir semasa persidangan tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta jabatan-jabatan dan pihak berkuasa di bawahnya.

Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri perbincangan tersebut yang diadakan melalui persidangan video, kelmarin. – Gambar serahan Kem. Pengangkutan dan Infokomunikasi