Persidangan biodiversiti ASEAN ketiga Mac ini

KUALA LUMPUR, 21 JAN – Kira-kira 500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam edisi ketiga Persidangan Biodiversiti Asean Ketiga (ACB 2020) selama lima hari bermula dari 16 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata mereka terdiri daripada peserta dari negara-negara ASEAN dan 20 negara megadiversiti di Amerika Selatan dan Afrika yang mempunyai lebih 70 peratus kepelbagaian biodiversiti global.

“ACB 2020 akan mengadakan perbincangan mengenai pembangunan pasca Rangka Kerja Biodiversiti Global 2020 (GBF), kemajuan yang dibuat oleh negara anggota ASEAN dalam mencapai Sasaran Biodiversiti Aichi, khususnya Sasaran 11 mengenai kawasan yang dilindungi dan Sasaran 12 mengenai pemuliharaan spesies.

“ACB 2020 juga akan menyediakan satu platform bagi pertukaran pengalaman, di samping menetapkan hala tuju ASEAN dalam pengurusan biodiversiti sehingga 2050.

“Selain itu, persidangan itu juga akan menjadi pemangkin bagi usaha kerajaan ke arah pemuliharaan dan penggunaan kepelbagaian biologi yang mampan dan perkongsian manfaat yang diperoleh menerusi penggunaan sumber genetik,” katanya dalam ucapan aluan sempena majlis prapelancaran ACB 2020 ketiga hari ini. Pada majlis itu Xavier turut melancarkan logo dan laman web persidangan.– Bernama

Datuk Dr Xavier Jayakumar (dua, kiri) menyempurnakan gimik pra-pelancaran Persidangan Biodiversiti ASEAN ke-3. – Bernama