Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan, ekspo inovasi PMKS bermula

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dan ditawarkan oleh syarikat-syarikat tempatan akan diketengahkan semasa Persidangan dan Ekspo Inovasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta Pameran Brunei CAEXPO 2017 pada 6 hingga 8 Mei nanti di Dewan BRIDEX 1 & 2, Jerudong.

    Acara yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO) dan Darussalam Enterprise (DARe) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta rantau berautonomi Guangxi, Republik Rakyat China.

    Persidangan dan Ekspo Inovasi PMKS serta Pameran Brunei CAEXPO 2017 mengetengahkan tiga acara utama iaitu Ekspo PMKS: Pesta Pasaran Buatan Brunei yang akan bermula dari 6 hingga 8 Mei, Pameran CAEXPO Brunei 2017 dan Persidangan Inovasi PMKS yang diadakan pada 6 Mei.

    Ekspo PMKS itu akan dibuka bagi kunjungan orang ramai pada 6 Mei bermula pukul 10:30 pagi hingga 9 malam dan pada 7 dan 8 Mei bermula 9 pagi hingga 9 malam. Ia disertai 200 PMKS tempatan mewakili semua sektor daripada makanan, roti dan perubatan, sektor ICT, kosmetik, fesyen dan pakaian dan juga pelbagai perkhidmatan disediakan oleh peniaga tempatan seperti percetakan, pengurusan dan pelancongan dalam negara.

    Selain itu, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan serantau, pesta itu akan menyaksikan penyertaan dari syarikat-syarikat undangan dari Indonesia, Vietnam, Sabah dan Sarawak.

    Manakala itu, Pameran Brunei CAEXPO 2017 akan mengetengahkan syarikat-syarikat dari China yang akan mempamerkan produk mereka di mana ia merupakan sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan giliran Negara Brunei Darussalam sebagai negara diberikan penghormatan bagi Ekspo China-ASEAN ke-14 yang akan berlangsung di Nanning, China pada September nanti.

    Sebanyak 100 buah syarikat dari China menyertainya sekali gus memberi peluang untuk mempromosikan kerjasama dalam bidang perdagangan, perniagaan dan pelaburan di antara Brunei dan China.

    Sementara itu, Persidangan Inovasi PMKS yang membawa tema ‘Enabling MSMEs’ Access to the Digital Economy’ pula akan diadakan selama sehari di mana perusahaan-perusahaan berjaya dijemput untuk bercakap mengenai bagaimana perusahaan kecil boleh menggunakan ekonomi digital bagi meningkatkan perniagaan mereka.

    Persidangan itu akan mengetengahkan penceramah jemputan dari dalam dan luar negara untuk mengongsi pengalaman mereka dalam meneroka pasaran e-perniagaan dan ekonomi digital.

    Antara penceramah undangan yang akan diketengahkan dalam persidangan sehari itu ialah Vishnu Mahmud dari Ogilvy & Mather, Kurniawan Santoso dari Facebook, Yienyee Soh dari Avana, Tony Tao dari DHGate, Daniel Tay dari ezBBQ, Ang Thian Cheok dari ThreeG Media Sdn Bhd, Haji Mohd Sabri dari Mumtaz Collections, Ramli dari CubeJunction dan Azim dari Gorush.

    Persidangan itu dihasratkan untuk membantu PMKS khususnya usahawan muda dan baru untuk merebut peluang yang ada dalam ekonomi digital serta untuk mengintegrasikannya ke dalam rangkaian nilai global, meningkatkan kesedaran dalam kalangan PMKS dan para penggunaan mengenai ekonomi digital dengan memanfaatkan e-perniagaan dan transaksi atas talian serta untuk mengetengahkan dan mempromosikan perkhidmatan serta produk inovatif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda