Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan ICBEF 2017 dirasmikan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Perubahan sosial dan ekonomi di Asia serta krisis kewangan yang berlaku baru-baru ini, memberikan cabaran yang signifikan kepada amalan dan pembangunan perniagaan yang mapan bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga di seluruh dunia.

    Walaupun terdapat keperluan untuk membangunkan, merancang dan melaksanakan pelbagai strategi mapan untuk membolehkan serta memastikan produktiviti perniagaan tetapi pada masa yang sama, terdapat peluang-peluang baru yang hadir di mana ia memerlukan strategi yang inovatif di semua peringkat untuk memastikan produktiviti pekerja yang tinggi serta amalan-amalan perniagaan yang berjaya.

    Oleh itu, Persidangan Antarabangsa bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) 2017, yang membawa tema ‘Perubahan, Cabaran dan Peluang: Strategi-strategi untuk Masa Depan Mapan di Asia’ adalah amat bertepatan kerana ia bukan sahaja akan membincangkan tetapi juga merangka strategi yang boleh membawa kepada amalan perniagaan yang terbaik dan pekerja yang produktif.

    Perkara itu dinyatakan oleh Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Ahmed M Khalid dalam kata alu-aluannya di Perasmian Persidangan ICBEF 2017 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Dr Haji Azman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Profesor Charles Horioka (kiri).
    Profesor Ahmed menyampaikan kata alu-aluannya di perasmian persidangan dua hari itu.
    Para peserta persidangan memberikan tumpuan kepada pembentangan ucaptama oleh Profesor Charles Horioka.

    Persidangan dua hari itu mengetengahkan penceramah dari UBD, pegawai-pegawai dari organisasi kerajaan, institusi penyelidikan dan perniagaan tempatan serta ahli-ahli akademik dari universiti-universiti antarabangsa di mana mereka akan berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman serta memberikan pandangan mengenai amalan-amalan utama ke arah menjana organisasi mapan.

    Profesor Ahmed turut berkata, persidangan berkenaan menyaksikan pembentangan oleh 60 orang pembentang dari 14 buah negara di mana mereka akan mengongsi hasil penyelidikan serta kertas kerja mereka meliputi pelbagai isu termasuk pengurusan perniagaan, pemasaran, pengurusan sumber manusia, ekonomi dan sistem maklumat. Di samping pembentangan kertas kerja, persidangan itu juga akan memberikan anugerah kepada kertas kerja terbaik dalam tiga bidang iaitu pengurusan dan perniagaan, kewangan dan perakaunan serta ekonomi.

    Persidangan itu juga mengetengahkan dua ucaptama yang disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Naib Presiden dan Profesor Penyelidikan Asian Growth Research Institute, Jepun, Profesor Charles Horioka dengan tajuk ‘Do people leave bequests? If so, why and does it matter?’ dan Profesor Kewangan dan Perakaunan, Yildiz Technical University, Turki dan juga Pengarah Pengasas YTU Center for Finance, Governance & Sustainability, Profesor Guler Aras dengan ucaptama bertajuk ‘Integrated Approach to Corporate Sustainability’.

    Salah satu daripada acara utama semasa persidangan itu adalah sesi panel perbincangan bertajuk ‘Sustainable business practices: Opportunities and challenges in the Asian Context’ yang akan menyaksikan panel yang terdiri daripada Profesor Charles Horioka, Profesor Culer Aras; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei; Soon Loo; Profesor Dalam Sumber Manusia dan Pengarah Centre for Work, Organisation at Griffith University, Australia, Profesor Adrian Wilkinson; Penasihat Dasar Ekonomi dan Pelaburan, Roman Zytek dan Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dr. Nur Rahman yang membincangkan mengenai amalan-amalan perniagaan mapan serta peluang dan cabaran yang hadir dalam suasana ekonomi Asia pada masa ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda