Tuesday, October 4, 2022
22.9 C
Brunei

Persidangan IIOA himpun penyelidik, penggubal dasar teknik input-ouput baharu

-

KUALA LUMPUR, 28 OGOS – Persidangan Persatuan Input-Output Antarabangsa (IIOA) bermula hari ini di Langkawi, Kedah dengan 200 peserta dari seluruh dunia untuk mempromosikan dan bertukar-tukar pandangan dalam kalangan pengamal teknik input-output, penyelidik dan penggubal dasar.

Presiden Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata persidangan itu menawarkan platform penting untuk pembangunan dan penyusunan data baharu, termasuk kaedah baharu untuk mengumpul data bagi penyelidikan dan statistik.

Analisis input-output ialah satu bentuk analisis makroekonomi berdasarkan kesalingbergantungan antara pelbagai sektor ekonomi atau industri. Kaedah ini biasanya digunakan untuk menganggarkan impak daripada kejutan ekonomi positif atau negatif dan menilai kesan meluas dalam ekonomi.

“Persidangan ini adalah platform untuk semua pengamal input-output di seluruh dunia untuk mewujudkan pembangunan baharu dalam analisis input-output yang termasuk pembangunan pangkalan data untuk negara dan rantau tertentu,” katanya kepada Bernama.

Mohd Yusof berkata antara topik yang diketengahkan ialah ekonomi mampan, analisis rantaian nilai global, analisis bencana, analisis pekerjaan, keperluan buruh asing dan pemulihan ekonomi pasca COVID.

“Misalnya, beberapa kertas kerja yang dikemukakan memberi tumpuan kepada analisis bencana dan sebenarnya membawa kes gempa bumi di Jepun, tetapi ini boleh dikaitkan dengan banjir di Malaysia yang kita hadapi kebelakangan ini.

“Sementara itu, kami mempunyai analisis mengenai rantaian nilai global yang terjejas berikutan pandemik dan mengenai isu pekerjaan yang dalam pemulihan dan perlu diselesaikan,” katanya. Persidangan IIOA Ke-28 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 2 Sept merupakan persidangan IIOA pertama diadakan di Malaysia dan Asia Tenggara. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -