Persidangan khas para pemimpin ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Di tengah kebimbangan penularan pandemik wabak COVID-19 yang kian meningkat, para pemimpin ASEAN buat julung-julung kalinya akan mengadakan persidangan khas bagi membincangkan pandemik tersebut melalui persidangan video esok.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berkenan menyertai ketua-ketua kerajaan dan negara ASEAN yang lain bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19.

Para pemimpin ASEAN juga dijangka akan mengadakan persidangan video bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN Plus Three bersama ketua-ketua kerajaan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea, yang juga akan memfokuskan terhadap pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, persidangan-persidangan khas yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN bagi 2020 itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kesediaan dan penyelarasan usaha-usaha kerajaan ASEAN dalam mengekang dan membasmi penularan wabak COVID-19 di rantau ini.

Di samping itu, sidang-sidang kemuncak khas berkenaan juga akan dapat mengukuhkan lagi kerja-kerja koordinasi di dalam penyediaan tindak balas yang seragam dalam menangani wabak berkenaan.

Para pemimpin juga dijangka akan mengongsikan usaha dan inisiatif dalam menangani kesan daripada COVID-19 terhadap sosioekonomi dan persekitaran.

Sidang-sidang kemuncak khas berkenaan membuktikan bahawa kerjasama rapat antara negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog yang telah lama terjalin amatlah signifikan dalam sama-sama menangani isu global yang dihadapi dunia pada masa ini.

Pertukaran, penyelarasan dan sokongan yang diberikan antara ASEAN bersama-sama dengan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea ini menjadi faktor penting ke arah membasmi dan menghentikan penularan wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 100,000 jiwa di seluruh dunia.