Persidangan kongsi pengalaman dalam keusahawanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Persidangan Cabaran Inovasi Harvard Asia Tenggara II (HIC SEA II) telah diadakan secara maya dari 15 Januari hingga kelmarin dan dihadiri oleh Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Pejabat Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Awang Adna Shatriremie bin Haji A Abdul Rahman, selaku penceramah utama Harvard Global Education Movement (HGEM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, Awang Adna Shatriremie turut dilantik sebagai Youth Empowerment Judge HIC SEA II bagi kategori Pemerkasaan Belia yang telah diadakan pada 17 Januari.

Persidangan yang dianjurkan oleh HIC SEA II itu merupakan kerjasama antara Harvard Undergraduate Global Education Movement (HGEM) dengan Global Citizen dengan disertai oleh pelajar antarabangsa dan ahli akademik dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan berkenaan, Awang Adna Shatriremie dijemput untuk menjadi penceramah utama oleh Harvard University, Amerika Syarikat (AS) melalui HGEM. Turut hadir dalam persidangan tersebut sebagai penceramah ialah Profesor Pengajian Alam Sekitar di Yale-NUS College, Profesor Anthony Medrano; Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr Yang Mee Eng; Pengarah Komunikasi, Kebudayaan dan Pengupayaan di Ray Allen Inc, Solonia Teodros dan Pengarah Inisiatif Dasar Iklim, Tiza Mafira.

Sesi ucapan itu berlangsung selama 45 minit, di mana Awang Adna Shatriremie berkongsi perjalanan profesional beliau daripada seorang usahawan kepada pendidik keusahawanan, mentor dan pembangun ekosistem.

Awang Adna ketika berkongsi perjalanan profesional beliau semasa persidangan maya tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

Beliau menekankan mengenai kepentingan pemerkasaan dan kemapanan belia serta bagaimana pemikiran dan tingkah laku keusahawanan sebagai ekosistem dapat menghasilkan ekonomi yang lebih baik bagi sesebuah negara.

Kenyataan menyatakan, penglibatan dan sumbangan Awang Adna Shatriremie dalam pendedahan dan praktik akademik dan pragmatik dalam ekosistem keusahawanan dari Brunei, Asia Tenggara dan San Diego, California (AS) telah membuka jalan bagi konsep keusahawanan untuk memiliki identiti kebruneian serta cara-cara ia disemai dalam masyarakat terutamanya melalui platform pendidikan.

Ketika persidangan berkenaan, Awang Adna Shatriremie juga berkongsi pandangan dan persepsi profesional beliau mengenai Business Model Canvas dengan metodologi Smart Experiment yang pragmatik, di mana beliau telah berpeluang mengongsikan dengan Asia-Europe Foundation (ASEF).

Perkara itu telah membukakan peluang bagi beliau untuk menerima undangan daripada University of California, San Diego sebagai panel speaker dan sebagai pelatih utama bagi program keusahawanan. Dalam ucapan beliau juga, Awang Adna telah berkongsi tentang pengalaman keusahawanan pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi dan sekolah menengah Negara Brunei Darussalam di mana beliau dan pasukan telah memulakan ekosistem keusahawanan sejak 2013.

Sesi ucapan tersebut diakhiri dengan soal jawab bersama para peserta.