Persidangan Persaingan ASEAN ke-9 pada 1-2 Nov

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dengan mengetengahkan tema Safeguarding Competition – A Post Pandemic Response of ASEAN Competition Authorities, Persidangan Persaingan ASEAN ke-9 akan berlangsung secara maya pada 1 dan 2 Disember depan.
Persidangan itu akan membincangkan pelbagai isu antaranya implikasi pandemik COVID-19 kepada pasaran ASEAN dan peranan penting persaingan dalam pemulihan ekonomi serantau.

Ia akan meliputi topik-topik relevan termasuk mengekalkan kepatuhan perniagaan, meningkatkan kepentingan dasar persaingan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam era pasca-pandemik serta mengukuhkan kerjasama dalam jangkaan krisis masa
hadapan.

Bakal dihoskan oleh Vietnam, persidangan akan mengetengahkan kertas-kertas pemenang daripada Pertandingan Esei Undang-undang Persaingan ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Agreement (AANZFTA).

Persidangan itu juga akan dihadiri oleh penguat kuasa undang-undang persaingan yang unggul dan pakar-pakar dari dalam dan luar rantau ini.

Sehubungan itu, pihak berkuasa persaingan, agensi-agensi kerajaan dan kawal selia, pengamal undang-undang, organisasi antarabangsa yang berkaitan, persatuan-persatuan pengguna dan pihak berkepentingan lain yang berminat adalah dialu-alukan untuk menyertai persidangan berkenaan di mana maklumat lanjut mengenainya boleh didapatkan daripada laman sesawang Kumpulan Pakar ASEAN mengenai Persaingan (AEGC).