Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan pupuk ekosistem pendidikan berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kira-kira 1,200 orang peserta dan tetamu yang terdiri daripada guru-guru dari semua sekolah kerajaan dan swasta serta wakil institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menghadiri Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-34, 2024, yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Persidangan yang membawa tema, Membina Ekosistem Pendidikan yang Berdaya Tahan, dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, selaku tetamu kehormat.

    Dalam kata alu-aluan oleh Dekan, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, UBD, Dr Hajah Hardimah binti Haji Mohd Said selaku pengerusi bersama persidangan menyatakan tema persidangan amat relevan di mana ia mencerminkan komitmen untuk melengkapkan pelajar bagi masa hadapan menerusi literasi digital, pembelajaran peribadi serta memupuk kemahiran pemikiran kritis.

    Beliau menjelaskan bahawa sebuah ekosistem pendidikan yang berdaya tahan amat penting untuk memastikan bahawa misi kita untuk menyediakan pendidikan berkualiti kekal inklusif, menangani pelbagai keperluan semua pelajar serta menyediakan mereka dengan peluang yang lebih baik untuk mencapai potensi penuh mereka.

    Mengulas mengenai persidangan berkenaan, Dr Hajah Hardimah berkata ia akan meneroka 29 subtema yang disusun ke dalam tiga kategori iaitu Memperkasa Pelajar bagi Masa Depan, Menginovasi Ekosistem Pendidikan dan Membangun Sumber Manusia.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri Persidangan Hari Guru, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Hajah Hardimah menyampaikan ucapan alu-aluannya di Persidangan Hari Guru, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Profesor Madya Dr Lynn Christina Gribble semasa menyampaikan ucaptama beliau. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa menerusi persidangan itu, para peserta akan diperkasa dengan strategi dan pandangan baharu yang akan memajukan lagi peranan mereka sebagai pendidik berkualiti.

    “Kita akan bersama mengukuhkan asas sistem pendidikan kita, memupuk inovasi dan memainkan peranan penting kepada pencapaian objektif strategik Kementerian Pendidikan, semuanya selaras dengan Wawasan Brunei 2035,” katanya.

    Acara diteruskan dengan penyampaian ucaptama bertajuk, Beyond the Hype: Making AI Work for You, oleh pensyarah dari University of New South Wales (UNSW), Sydney, Profesor Madya Dr Lynn Christina Gribble, di mana beliau memberikan penerangan bagaimana perkembangan ICT yang pesat telah merubah landskap pendidikan serta bagaimana pendidik boleh memanfaatkan teknologi canggih dalam mendidik pelajar secara inovatif, kreatif dan menarik.

    Sesi pagi diakhiri dengan sesi Learning Circle bersama Profesor Madya Dr Lynn Christina Gribble yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, UBD, Dr Siti Norhedayah binti Haji Abdul Latif.

    Sesi petang diteruskan dengan bengkel bertajuk, Prompt Engineering Bootcamp, yang dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Lynn Christina Gribble.

    Hari kedua persidangan akan diteruskan dengan penyampaian ucaptama bertajuk, Rasulullah Uswah Guru Terbaik Sepanjang Zaman, oleh Raes, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Persidangan berkenaan diikuti dengan sesi Learning Circle bersama Profesor Madya Dr Abdul Nasir yang akan dipengerusikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, KUPU SB, Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris.

    Bagi hari kedua persidangan, sebanyak 77 pembentangan kertas selari dan 10 buah bengkel juga akan diadakan.

    Persidangan itu bermatlamat untuk memberikan pandangan berasaskan bukti bagi memperbaiki sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam. Selain itu, ia juga dihasratkan sebagai platform untuk para pendidik meningkatkan pengetahuan mengenai cara membina daya tahan dalam konteks tema persidangan, di samping terlibat dalam perbincangan yang informatif serta mempromosikan amalan berasaskan bukti dalam pendidikan bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran berkualiti di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda