Persidangan sentuh kuasa teknologi digital

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan ke-3 bermula hari ini hingga 3 November melalui aplikasi Zoom.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Universiti Brunei Darussalam (UBD), persidangan bertema ‘Paradigma Perniagaan Baharu semasa Ketidakpastian Ekonomi’ itu dirasmikan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Dekan UBDSBE, Dr Masairol bin Haji Masri.

Semasa persidangan itu, Profesor Inovasi Digital dan Keusahawanan di Universiti Antwerp, Belgium, Profesor Wim Vanhaverbeke menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Teknologi Digital, Inovasi Model Perniagaan dan Pembangunan Ekosistem Inovasi’.

Beliau antara lain membincangkan mengenai kuasa teknologi digital yang berpotensi menimbulkan gangguan, inovasi model perniagaan yang telah terpaksa dibangunkan untuk mengatasi teknologi-teknologi berkenaan dan ekosistem inovasi yang perlu diwujudkan untuk merealisasikan inovasi model perniagaan berkenaan.

Beliau membentangkan kes-kes transformasi digital dengan aplikasi dalam pertanian, penjagaan kesihatan, tenaga dan mobiliti. Di samping itu, beliau meneroka kekuatan dan kelemahan strategi-strategi ekosistem inovasi, dan bagaimana syarikat-syarikat perlu mengatur ekosistem inovasi untuk mengubah model perniagaan mereka.

Antara yang menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan ke-3 yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan UBD

Kenyataan menyatakan, hari kedua persidangan itu akan menampilkan ceramah daripada Profesor Kewangan di Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti New Orleans, Amerika Syarikat, Profesor Mohammad Kabir Hassan yang akan berkongsi pandangan ilmiahnya mengenai ‘Kewangan Islam Berasaskan Nilai dan Pembangunan Mapan’.

Pada sebelah petang, satu perbincangan panel akan diadakan dengan topik ‘Inovasi untuk Pembangunan Lestari dan Pengurusan Ekosistem’.

Satu lagi perbincangan panel akan diadakan pada hari ketiga dengan tajuk ‘Merangkum FinTech dalam Era Ketidakpastian Perniagaan’.

Persidangan itu akan menampilkan 61 pembentangan kertas kerja oleh penceramah luar negara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia serta pembentang tempatan, yang akan membuat pembentangan dalam 16 sesi selari, yang akan berlangsung sepanjang acara tiga hari itu.

Penganjur bersama persidangan itu termasuk Fakulti Sains Pengurusan, Universiti Silpakorn, Thailand; Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF), Malaysia; Universiti Teknologi MARA (UTiM), Sarawak, Malaysia; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), dan Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF).