Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan tingkat warisan maritim bersama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus telah menghadiri persidangan video dalam talian bagi perasmian Pameran Digital Projek SEA-Collections: Mentafsir Sejarah Perkongsian melalui Koleksi Maritim Asia Tenggara, yang diadakan secara hibrid, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Muzium-muzium, di sini, mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Pusat Asia Tenggara Sydney (SSEAC), Universiti Sydney, Dr Natali Pearson dengan ucapan perasmian diketuai oleh Pusat ASEAN-Australia (AAC), Carlo White.

    Pameran itu dijayakan atas sokongan Pusat ASEAN-Australia, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan, Australia dengan sokongan tambahan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

    Projek koleksi kolaboratif berkenaan menghimpunkan pakar dari institusi seluruh Asia Tenggara untuk meraikan dan meningkatkan warisan maritim bersama rantau ini. Inisiatif itu adalah bukti kuasa kerjasama serantau dan antarabangsa dalam memelihara warisan budaya.

    Dengan melibatkan muzium dan institusi kebudayaan di seluruh Asia Tenggara, ia bukan sahaja memperkaya pemahaman kolektif mengenai sejarah maritim tetapi juga mengukuhkan kapasiti untuk mengurus dan mentafsir warisan bersama.

    Bagi Negara Brunei Darussalam, projek itu adalah selaras dengan misi menjaga dan mempromosikan warisan maritim, menyumbang kepada usaha yang lebih luas untuk menonjolkan naratif budaya wang menyatukan rantau Asia Tenggara.

    Pameran digital itu, akan menguatkan lagi kisah maritim Negara Brunei Darussalam dengan memastikan tempatnya dalam dialog global mengenai pemeliharaan warisan.

    Selain sumbangan dari Australia, projek itu termasuk penyertaan daripada muzium-muzium di Thailand, Kemboja, Filipina, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama untuk memelihara dan mentafsir koleksi maritim sebagai khazanah budaya utama yang menghubungkan sejarah dan komuniti di seluruh rantau ini.

    Pengiran Haji Rosli semasa menghadiri perasmian digital yang diadakan secara hibrid. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MUZIUM-MUZIUM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda