Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Persidangan Wakaf Antarabangsa buka tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Persidangan Wakaf Antarabangsa sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 telah membuka tirainya hari ini dengan majlis perasmian di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat bersama pada majlis perasmian persidangan dan Pameran Minggu Islamik Brunei MYCE itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Persidangan Wakaf Antarabangsa yang akan berlangsung selama empat hari itu dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan tema ‘Ke Arah Merealisasikan Perlaksanaan dan Pengurusan Wakaf Secara Komprehensif’.

    Selepas majlis perasmian, pembentangan kertas perdana telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar diikuti dengan pembentangan kertas utama 1 oleh Timbalan Setiausaha Agong Forum Zakat dan Wakaf, Malaysia, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor secara dalam talian.

    Sementara itu, pada sebelah petang, kertas kerja utama II dibentangkan oleh Pensyarah Profesional Fakulti Pengurusan, Universiti Multimedia Malaysia, Profesor Dr Ridzwan bin Bakar, diikuti kertas kerja utama III yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pergas Investment Holdings, Republik Singapura, Dr Shamsiah Abdul Karim dan kertas kerja utama IV oleh Timbalan Pengerusi Badan Wakaf Indonesia, Republik Indonesia, Dr Imam Teguh Saptono.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa merasmikan persidangan dan Pameran Minggu Islamik Brunei MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menyaksikan pameran di salah satu petak Pameran Minggu Islamik Brunei MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Antara yang hadir pada persidangan tersebut.

    Moderator sesi pembentangan pada hari pertama ialah Pengarah Pusat Kajian Mazhab Shafi’i UNISSA, Dr Azme bin Haji Matali.

    Antara lain objektif persidangan adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai wakaf dan peranannya secara komprehensif dalam menjana dan menstabilkan ekonomi serta menyerlahkan keistimewaan dan kelebihan institusi wakaf sebagai agen pembangunan ummah.

    Di samping itu, ia juga untuk mengenal pasti urus tadbir wakaf yang efektif dan efisien serta menyampaikan isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan dan pengurusan wakaf di negara-negara jiran.

    Sejurus selepas sesi perasmian dan pembentangan kertas utama, tetamu-tetamu kehormat bersama majlis kemudian mengadakan lawatan ke petak-petak Pameran Minggu Islamik Brunei MYCE 2022 di ruang lain pusat berkenaan. Pameran antaranya memfokuskan kepada tema wakaf yang memuatkan klinik wakaf, dikendalikan bersama oleh Bahagian Wakaf, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, KHEU, UNISSA dan KUPU SB.

    Pada pameran tahun ini, KHEU telah menjemput empat institusi wakaf dari luar negara iaitu dari Malaysia, Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa (iWAQF), Pusat Wakaf Wilayah Persekutuan; Yayasan Pahang; dan Khadijah International Waqf (L) Foundation Malaysia, manakala itu dari Indonesia ialah Wakafpreneur Institute.

    Pameran turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Bank Islam Brunei Darussalam, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), KUPU SB dan UNISSA.
    Brunei MYCE 2022 dianjurkan oleh KSSUP melalui Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pihak berkepentingan dan agensi-agensi swasta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...