Persoalan ‘misteri’ menyelubungi Nabila

“Saya okey, jangan risau. Terima kasih pada semua yang begitu sayang dan bimbang pada diri saya. Selebihnya saya akan kongsi kelak,” demikian ulas Nabila Huda ketika dihubungi media menjawab persoalan ‘misteri’ yang menyelubungi diri.

Beberapa video yang dimuat naik di Instagram (IG) Story menunjukkan momen cemas Nabila ketika berada seorang diri di rumahnya.

Menerusi video yang dimuat naik, Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin Ke-23 pada 2019 itu mendakwa melihat kelibat sesuatu di balkoni rumahnya. Malah, Nabila menangis ketakutan kerana bimbang keadaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Secara kebetulan ketika berkongsi video pendek itu, suami dan anaknya tiada di rumah. Situasi itu mencetuskan kebimbangan ramai, malah teman artis seperti Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia turut meluahkan kerisauan apa sahaja kemungkinan berlaku kepada Nabila dalam IG.

Terdahulu, bapanya yang juga penyanyi legenda, Amy Search dan ibu tirinya, Nourish turut takut dengan keadaan sebenar pelakon itu.

“Saya cuba menghubungi Nabila dan suami sejak subuh lagi. Namun, hanya beberapa jam baru panggilan telefon dan mesej di aplikasi WhatsApp berjawab.

“Saya dan suami risau dengan keadaan Nabila. Tetapi, jawapan ‘okey’ daripada Nabila melegakan hati kami,” kata Nourish. – Agensi

Nabila Huda mendakwa melihat kelibat sesuatu di balkoni rumahnya. – Agensi