KOTA BAHARU – Walaupun sukar untuk dihasilkan, namun ia tidak mematahkan semangat pelukis batik Ahmad Fathil Othman, 47, untuk terus berusaha mengekalkan warisan seni itu agar tidak lapuk ditelan zaman.
Lebih-lebih lagi batik begitu sinomin dengan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang selain seni kraf itu mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Minat Ahmad Fathil terhadap kehalusan seni melukis batik bermula sejak di sekolah rendah lagi dan kini telah menjadi punca rezekinya setelah berusaha menjadi pelukis batik secara profesional sejak lebih 20 tahun lepas.
“Selepas tamat pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada 1993, saya mula mencari kerja sambilan memandangkan keluarga saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Syukurlah, ketika itu sahabat karib saya Hayuza Ibrahim, 46, telah menawarkan ‘lubuk kerja’ kepada saya sebagai pencanting batik di kedai milik keluarganya di Kampung Tapang dekat sini.
“Dari situ, bermulanya karier saya sebagai pencanting batik dan saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk mahir selok-belok ilmu mencanting,” katanya ketika ditemui di studio batik miliknya di Bazar Tok Guru, di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Ahmad Fathil berkata selepas setahun bekerja sebagai pencanting batik sambilan, beliau mengikuti kursus kemahiran melukis batik selama setahun setengah di Institut Kemahiran Baitulmal di Kuala Lumpur pada 1997 untuk memantapkan lagi ilmunya secara formal.
Katanya, selepas berjaya menamatkan kursus kemahiran berkenaan pada tahap satu, beliau mula beralih angin dengan memfokuskan kerjanya melukis batik corak abstrak dan alam semula jadi kerana menyedari seni batik mempunyai ketinggian nilai tersendiri selain tidak ramai pengkarya seni berminat menceburi lukisan batik.
“Untuk melukis batik ini agak rumit kerana ia perlu melalui beberapa proses termasuk menggunakan lilin cair untuk mencorakkan kain, membancuh warna, mematikan warna selain ia juga perlu dijemur,” katanya.
Menurut Ahmad Fathil Othman, kain kapas menjadi pilihannya kerana ia mudah untuk digunakan kerana dapat mengekalkan warna dengan mudah ketika mencanting.
“Malah, untuk setiap corak yang dihasilkan menggunakan pen batik, saya akan menggunakan lilin sehingga tujuh lapisan untuk memastikan kualiti warna yang dihasilkan cantik dan menarik,” katanya yang turut memenangi beberapa anugerah termasuk Piala Seri Endon selain dipilih sebagai Tokoh Kraf Batik 2021 dan Tokoh Institut Kemahiran Baitulmal.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sehingga kini beliau telah menghasilkan hampir 2,000 lukisan bermotifkan batik yang dijual bermula harga RM600 dan mampu mencecah sehingga RM21,000.
“Setiap lukisan yang dihasilkan ini akan mengambil masa sekitar seminggu dan paling lama mencecah lebih dari sebulan bergantung kepada saiz dan corak yang dihasilkan terutamanya apabila menggunakan teknik retak seribu memandangkan ia corak yang paling popular dan paling lama. Hasil seni karya saya juga turut diminati pelancong asing dari Perancis, selain Muzium Negeri Kelantan, Pejabat Kedutaan di Dubai, selain orang kenamaan seperti Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz,” katanya. – Bernama