Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pertahan tanah adat daripada terjahan pembangunan

    Oleh Soon Li Wei, Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Muhammad Mikhail Mohazar

    GUA MUSANG – “Cak! (Makan!)” sapa Along bin Itam, 73, kepada kami dalam bahasa Temiar ketika menjamu kami dengan sarapan di kediamannya pada hari terakhir kunjungan kami ke Kampung Bering, Pos Pasik.

    Kami berada di kampung itu selama tiga hari bermula 12 Jun lalu.

    Beliau yang memakai topi tradisi suku kaum Temiar yang diperbuat daripada daun palas terus mencapai jagung yang sudah dikukus. Ia antara hasil tuaian daripada Kebun Mandiri Orang Asli (#kebunmandiriOA) bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang diusahakan sejak Mac 2022.

    “Belej! (sedap),” sambil tersenyum, Along mempelawa kami untuk makan jagung itu. Di samping itu ada nasi goreng dan teh panas.

    “Nanti ikut pak cik masuk hutan ya, ada kebun di situ,” kata Along yang mesra dipanggil Pak Cik Along. Rutin hariannya untuk memungut hasil hutan berhampiran dengan kampung itu.

    Ketika itu memang rasa tidak sabar untuk saya dan tiga lagi rakan, Aslah dan Mikhail serta jurukamera, Shahrizan untuk melihat sendiri ‘kebun dalam hutan’ yang disebut oleh Pak Cik Along.

    Along bin Itam menunjukkan ‘kebun dalam hutan’ yang diusahakan beliau. – Bernama
    Kebun Mandiri Orang Asli. – Bernama

    ‘Kebun’ di sebalik hutan
    Seperti kebanyakan 27 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bering, sumber pendapatan utama buat Pak Cik Along adalah memungut hasil hutan, selain berkebun dan menangkap ikan di Sungai Kenong berhampiran dengan kampung itu.

    “Moh! (Jom),” ungkap Pak Cik Along.

    Udara pagi yang begitu segar serta rimba yang menghijau mengelilingi perkampungan itu bagaikan memberi tenaga baharu kepada kami. Semakin tidak sabar untuk menjejak kebun yang terletak kira-kira 200 meter dari penempatan mereka itu.

    Selepas menelusuri semak samun dengan menyelak lalang sebelum sampai ke tapak kecil di hadapan sebuah bukit batu kapur, Pak Cik Along berhenti sebentar sambil kepalanya mendongak ke arah lubang yang membentuk sebuah gua kecil dalam bukit itu.

    “Itu tempat ‘orang besar’ (gajah) suka berehat dan menyorok diri, mereka musuh kita dalam kampung ini,” katanya sambil menambah, gajah merupakan ‘musuh’ gangguan utama kerana sering merosakkan harta benda dan tanaman, terutamanya pada waktu malam.

    Setelah 30 minit meredah hutan, akhirnya kami tiba di kawasan ‘kebun’ milik Pak Cik Along yang terletak di seberang sungai kecil. Kami meniti dengan berhati-hati batu-batu yang ada di tengah sungai untuk sampai ke kebun Pak Cik Along.

    “Ini pokok herba yang Pak Cik tanam di sini.. selang dua hingga tiga hari saya akan datang menjenguk kebun ini,” kata Pak Cik Along menunjukkan sebuah tapak kecil yang penuh dengan daun-daun dan pokok-pokok kecil yang dilihat masih muda.

    “Dulu masa tak ada pembalakan, kita tidak perlu menanam pokok-pokok dan daun herba ini, boleh sahaja kita bebas petik di mana-mana sahaja, tapi sekarang pembalak dah masuk dalam hutan, kita terpaksa tanam sebab bila-bila masa sahaja boleh hilang.

    “Tumbuh-tumbuhan yang kami tanam selalunya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk tumbuh, bergantung pada kesuburan tanah.. Selalunya saya akan datang tiga kali seminggu untuk bersihkan kebun dan tengok hasil tanaman di kebun ini,” katanya sambil mencapai setangkai daun Mangsian untuk ditunjukkan kepada kami.

    “Ini dipanggil daun Mangsian, kami rebus jadi ubat sakit perut dan demam panas,” kata Pak Cik Along. Carian penulis kemudiannya mengenai daun Mangsian ataupun dalam bahasa saintifik, Phyllanthus reticulatus ini mendapati ia tumbuhan liar dengan buah berwarna ungu kehitaman, kebiasaannya tumbuh di sepanjang aliran sungai atau di dalam hutan dengan ketinggian antara 800 hingga 2,000 meter.

    Hasil hutan kian pupus
    Menurut Pak Cik Along, masyarakat Orang Asli Temiar di kampung itu bergantung hampir 90 peratus daripada sumber hutan untuk kelangsungan hidup mereka.

    “Dahulu kami gunakan daun pokok bertam untuk buat atap rumah, tak terlalu panas dan kalis air, tapi sekarang sudah pupus, sudah tiada dalam hutan. Kami terpaksa kutip atap aluminium yang dibuang oleh pembalak.

    “Panas itu panas la sedikit, tapi apatah dayanya? Pembalak sudah kacau kawasan hutan dan tanah adat kita, sudah banyak yang hilang dan pupus.

    “Kami terpaksa tanam balik apa yang kita kutip selama ini, itu pun kadang-kadang kami khuatir juga ‘orang besar’ datang kacau sebab pembalak semua sudah teroka hutan di sini,” katanya.

    Riak wajah Pak Cik Along jelas kelihatan kecewa apabila berkongsi cerita tentang sikap para pembalak yang tidak menghormati tanah adat Orang Asli apabila melakukan aktiviti pembalakan berdekatan dengan kawasan penempatan mereka.

    “Atuk saya yang lahir sejak zaman peperangan Jepun sudah berpesan kepada kami: Hutan-hutan yang ada di sini memang akan pupus suatu hari nanti disebabkan pembangunan, jadi kami kena tanam balik apa yang kita petik selama ini untuk elakkan daripada terpupus.

    “Di kawasan hutan ini sebenarnya banyak pokok herba yang bermutu, macam kacip fatimah, tongkat ali yang memang berharga dan berkualiti, dulu senang sahaja kami nak masuk dan kutip apabila ada permintaan.

    “Malah, upacara adat warisan turun-temurun kami iaitu ‘Sewang’ adalah wajib untuk mendapatkan daun-daun dari hutan, jika ia sudah pupus, mana kami mahu dapat? Sudah pasti adat warisan kami juga turut akan terjejas,” katanya.

    Upacara Sewang memerlukan bahan semula jadi daripada hutan berhampiran, dan sejak pembalakan bermula di kawasan sekeliling kira-kira 10 tahun lalu, semakin sukar untuk penduduk Kampung Bering mendapatkan bahan keperluan utama.

    Pertahankan keindahan kampung
    Selepas lebih dua jam ‘menerokai’ kawasan kebun dan hutan bersama Pak Cik Along, kami kembali ke Kampung Bering dan duduk berehat di bangku kayu yang terletak di bawah pokok nangka. Bangku itu tempat ‘lepak’ buat penduduk kampung itu.

    Sambil mengunyah jagung bakar hasil daripada #kebunmandiriOA, salah seorang penduduk, Angah a/l Pandak, 67, datang dan duduk bersama kami.

    “Dahulunya, ada orang luar masuk kampung kami dan lihat keindahan kampung ini yang terletak di tepi sungai, ada bukit batu kapur, mereka tawarkan pampasan untuk kami dan mahu jadikan kawasan ini sebagai ekopelancongan.

    “Kami tidak mahu sebarang pembangunan kerana di sinilah tanah adat dan warisan kami turun-temurun, lagipun kampung kami masih belum dicemari dan air sungainya masih lagi jernih disebabkan masih tidak ramai orang luar yang tahu akan kampung kami.

    “Lagipun jika ditawarkan ke kawasan pekan ataupun bandar, kami tidak biasa. Kami sudah biasa berada dekat dengan hutan dan sungai… Jika berpindah pun, kami tidak boleh berpindah sembarangan,” kata Angah.

    Seperti mana harapan kebanyakan keluarga di Kampung Bering yang wujud sejak zaman penjajahan British lagi, Angah berharap agar tidak ada pihak yang menjalankan aktiviti pembalakan secara besar-besaran kerana dikhuatiri kawasan penempatan mereka akan tenggelam akibat ketiadaan sumber tadahan air.

    Kampung Bering merupakan sebahagian daripada Pos Pasik, iaitu kawasan petempatan Orang Asli yang terletak kira-kira 72km dari pekan Kuala Balah, dikelilingi hutan simpan Gunung Stong Selatan dan Berangkat di bawah jajahan daerah Jeli.

    Hentikan pembalakan tebang habis
    Sementara itu, Pengerusi KUASA, Hafizudin Nasarudin menyeru agar keseluruhan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia dapat diwartakan sebagai kawasan sensitif alam sekitar kategori tahap satu dan dua di bawah Rancangan Fizikal Negara.

    “Di bawah kategori ini, tiada sebarang pembangunan diluluskan melainkan aktiviti ekopelancongan terkawal, konservasi, penyelidikan dan pembalakan secara terpilih atau lestari,” katanya.

    Menurut beliau, jika sekali pun pembalakan ingin dijalankan, pihaknya hanya bersetuju dengan pembalakan secara terpilih dan lestari mengikut garis panduan yang ditetapkan dan diluluskan di kawasan yang kurang sensitif.

    “Ketika ini Dasar Perhutanan Negara dan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Seksyen 19), pihak berkuasa masih membenarkan aktiviti pembalakan secara tebang habis bagi pengeluaran hasil hutan seperti kayu balak, mineral, tanah galian dan sebagainya.

    “Sebagai aktivis alam sekitar, kami sememangnya tidak setuju kerana ia akan melenyapkan terus dirian hutan semula jadi yang asal, memusnahkan ekosistem serta mengundang kepupusan spesies akibat kehilangan habitat. Selain itu, ia juga akan mengundang bencana alam, kehilangan sumber kehidupan komuniti Orang Asli, ancaman keselamatan air dan makanan serta ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

    Perjuangan hak orang asli
    Sementara itu, pengasas Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC), Dr Colin Nicholas berkata, komuniti Orang Asli di Gua Musang kebanyakannya merasakan mereka tiada hak untuk bersuara terutamanya dalam isu pembangunan melibatkan tanah adat mereka.

    “Sebagai contoh, sekiranya terdapat sebarang pembangunan atau penebangan hutan secara besar-besaran oleh tauke balak, mereka tidak meminta izin ataupun mengadakan perbincangan secara bersemuka terlebih dahulu, sebaliknya menawarkan terus pampasan kepada orang yang terlibat jika ada pencerobohan kawasan mereka.

    “Di situlah masyarakat Orang Asli berasa tidak puas hati… Mereka berasa suara dan hak mereka ditindas dan tidak boleh menyuarakan pandangan mereka kepada pihak berkuasa kerana mereka sebenarnya mahu mempertahankan adat dan warisan turun-temurun mereka di tanah yang didiami lebih 100 tahun itu,” ujarnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...