Pertahan warisan seni silat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Silat merupakan seni bela diri yang diwarisi sejak zaman dulu lagi, setiap langkah gerak silat mempunyai makna yang tersembunyi dan menyerlahkan aspek kemelayuan.

Silat juga mempunyai beberapa jenis seperti silat kuntau, silat cekak asli Brunei, silat Sufyan, Silat Betawi, dan banyak lagi.

Antara kelebihan silat ialah ia dapat membentuk sikap dan minda yang positif di samping membantu disiplin dan daya saing yang tinggi.

Menurut Awang Mohd Azral bin Abdul Rahman yang merupakan seorang pengamal seni silat, seni silat adalah ilmu bela diri yang diwarisi.

“Silat boleh menjadi pelindung daripada pengaruh dan anasir jahat, seseorang yang mengamalkan silat dapat membentuk keperibadian dan akhlak yang mulia,” ujarnya sambil menambah, silat juga dapat mempertahankan agama, bangsa, dan negara.

Pada masa dahulu, kongsi beliau, persembahan silat sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan pada zaman ini, silat pula sering dipertandingkan di peringkat-peringkat daerah dan juga antarabangsa.

“Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan untuk menyertai dan menghantar wakil dalam pertandingan silat dan pernah meraih tempat pertama semasa dalam pertandingan.”

Awang Mohd Azral turut mengongsikan ciri-ciri fizikal yang perlu ada bagi seorang pengamal silat, “untuk memahiri silat, seseorang itu perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik, dan ia juga boleh merupakan satu senaman yang baik untuk meningkatkan tahap kesihatan yang optimum.”

Walaupun dunia mengalami arus peredaran zaman, namun sebagai masyarakat Melayu, seni silat mesti dimartabatkan agar ia terus berkembang dan mewarisi calak dan identiti keBruneian.

Sebagai masyarakat Melayu, seni silat mesti dimartabatkan agar ia terus berkembang dan mewarisi calak dan identiti keBruneian.