ISTANBUL – “Chez Lebon, tout est bon (Semuanya sedap di Lebon)” pernah menjadi motto kedai pastri terkenal yang diasaskan oleh cef pastri Perancis di Istanbul pada zaman Uthmaniyyah.
Selepas berhenti kerja di Konsulat Perancis, Eduard Lebon mengasaskan Lebon Patisserie pada tahun 1810 di Istiklal Avenue di daerah Beyoglu, Istanbul. Kedai pastri itu menjadi kegemaran ramai, dan tidak lama kemudian menjadi salah satu tempat paling berprestij untuk jemputan di bandar.
Walaupun ia berkali-kali bertukar pemilik dan lokasi, ia masih mengekalkan reputasi dan keenakan makanannya, layanan pelanggan di bangunan bersejarah yang sama sejak 37 tahun yang lalu.
Bagaimanapun, akibat dilanda keadaan pandemik COVID-19 yang semakin teruk, kedai pastri itu telah mengalami kemerosotan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memutuskan untuk menutup pintunya untuk selamanya.
Abdurrahman Cengiz, pemi-lik kedai pastri ketika ini, mengumumkan beberapa minggu lalu Lebon akan ditutup pada awal 2022. Beliau menyatakan pemilik tanah menaikkan sewa kepada 60,000 lira Turki (AS$4,931) daripada 32,000 lira.
“Kami hanya sebuah kedai pastri. Perusahaan kami tidak tidak mampu membayar sewa yang semakin tinggi,” kata Cengiz kepada pemberita.
Berita itu menjadi tular di platform media sosial, mendorong rakyat Turki, bukan sahaja warga Istanbul tetapi juga rakyat dari beberapa bahagian lain di negara itu, termasuk kru televisyen dan wartawan yang berpusu-pusu ke kedai pastri.
Apa yang mereka mahukan ialah merasai kelazatannya buat kali terakhir sambil berdiri melihat kedai tersebut ditutup.
Bahar Sen, seorang pesara yang tinggal di Istanbul, adalah antara yang kerap mengunjungi Lebon, memuja hidangan profiterolesnya yang lembut.
“Lebon adalah salah satu tempat paling bersejarah di Istanbul. Malangnya, kami mendapat tahu ia akan ditutup mulai 31 Disember dan datang ke sini untuk merasai profiteroles buat kali terakhir,” kata Sen kepada Xinhua.
“Kami akan bertahan,” kata Cengiz kepada Xinhua di kedai pastri yang dipenuhi pelanggan. Beliau berkata, tuan tanah telah bertolak ansur dan memutuskan untuk memperbaharui kontrak selepas berdepan ‘tekanan hebat’ rakyat Turki.
Pandemik telah menjejaskan perusahaan itu dengan teruk, menyebabkan Lebon berhutang dan memaksa pemiliknya mengurangkan bilangan kakitangannya kepada lapan daripada 27 orang.
Cengiz, yang tidak sabar dengan untuk kembali selepas tindakan pemilik yang bertolak ansur, berkata ingin segera mengambil empat hingga lima lagi kakitangan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan kemudian secara beransur-ansur membayar hutang.
Tidak semua kedai di Istiklal Avenue bertuah seperti Lebon. Dibuka pada tahun 1993, restoran vegetarian pertama Istanbul, Zencefil ditutup kerana tidak mampu menanggung kerugian akibat wabak itu. Kedai Buku Denizler, kedai buku antik Istanbul, juga terpaksa menutup pintunya kerana sewa yang tinggi.
“Malangnya, identiti Beyoglu berubah, kerana lokasi yang menjadi simbol Beyoglu ditutup satu demi satu,” keluh Sen.
Pada zaman kegemilangannya, Beyoglu dipenuhi dengan kedai buku terkenal di dunia yang menjual kesusasteraan dan terbitan berkala antarabangsa, galeri seni, kedai, restoran, kedai kopi, kedai pastri yang elegan dan bar.
Kini kebanyakannya telah digan tikan dengan pusat membeli-belah atau kedai kosmetik untuk menarik perhatian pelancong.
“Kemerosotan tekstur lama Istanbul membuatkan saya sangat sedih,” kata Sanem Guner, seorang penduduk Istanbul yang membeli beberapa peket pencuci mulut Lebon, kepada Xinhua. “Semuanya kini bergantung kepada keuntungan.” – Xinhua