Pertahankan kulinari warisan

Oleh Nurdiyanah R.

Ungkapan mempertahankan warisan adalah tanggungjawab bersama, mungkin kedengaran mudah, hakikatnya dalam dunia yang semakin moden ini, mengekalkan dan mempertahankan sesuatu warisan itu sememangnya sukar tanpa sebarang usaha gigih daripada semua pihak.

Begitu juga untuk mempertahankan kulinari tradisi Melayu kita, agak sukar jika yang lama tiada, yang baharu tidak semestinya sama dengan sentuhan lama yang memerlukan orang berpengalaman dan kerjasama belia untuk memperjuangkan dan mengembangkannya.

“Zaman silih berganti, perubahan kulinari masyarakat negara ini semakin ketara sejajar dengan kemodenan bak cendawan tumbuh selepas hujan, disebabkan itu, kami mengungkayah acara untuk meningkatkan kesedaran bersama betapa pentingnya memartabatkan makanan tradisi Melayu yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita suatu ketika dahulu.

“Siapa lagi yang akan mewarisinya jika bukan generasi muda hari ini,” kata Hajah Timbang binti Haji Jumaat, salah seorang warga emas dari Kampung Jerudong yang ditemui penulis pada acara Promosi Produk MPK dan Produk Warisan Kedayan anjuran Majlis Perundingan Kampung Jerudong B bersama Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (Warisan) di kampung itu baru-baru ini.

Masakan asli cita rasa kampung

Bagaikan peluang keemasan, menemui Hajah Timbang yang juga merupakan salah seorang ahli MPK tersebut yang sememangnya begitu mahir dalam bidang masakan tradisi Melayu Kedayan, amat menggembirakan bagi penulis yang ingin menerokai beberapa makanan tradisi Melayu Kedayan yang diketengahkan.

Unik…Kuih Sumbui-Sumbui yang menggunakan bahan-bahan asas terdiri dari adunan tepung beras dan pisang yang telah dikisar atau dilenyek sehingga lumat dan kemudian digaul rata dalam air panas serta dicampurkan sedikit garam dan gula.
Hajah Timbang berharap generasi masa kini memperjuangkan dan memperkembangkan masakan tradisi agar ia terus bertahan dalam arus kemodenan.
Warga MPK memucang-mucang menyediakan hidangan kuih tradisi Kelupis.
Daging Masak Kunyit yang pastinya membuka selera bukan sahaja orang lama, malah menjadi tarikan bagi generasi baharu.
Selain menampilkan masakan-masakan kampung ala Kedayan, MPK berkenaan turut mengetengahkan kuih-kuih tradisi seperti Kelupis dan Dalamu.

Warga emas yang kini berusia 60an ini menyatakan bahawa masyarakat Melayu Kedayan khususnya di Kampung Jerudong juga memiliki pelbagai hidangan tradisi penuh keunikan dan mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana diketengahkan oleh masyarakat Melayu jati yang lain di negara ini.

Antara masakan kampung yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu Kedayan ialah Daging Masak Kunyit dan Ayam Tua Masak Kunyit. Menggabungkan bahan-bahan semula jadi seperti kunyit hidup dan serai serta ramuan asli yang lain, hidangan ini tampil dengan keenakan asli, mengimbau nostalgia kemanisan sewaktu menikmati hidangan dalam suasana kampung halaman suatu masa lalu.

Jelas Hajah Timbang, masakan sayur yang dikenali dengan nama Rebung dan Kulat Tahun Masak Air juga menjadi salah satu keunikan kulinari yang dimiliki oleh masyarakat mereka.

Sayur rebung atau dalam bahasa Kedayan disebut ‘Abung’ dan juga kulat dipotong dan dihiris memanjang atau mengikut cita rasa sendiri. Kulinari yang berkonsepkan masakan air itu bersapak udang segar itu diserikan lagi dengan beberapa ramuan asli menambahkan kelazatannya.

Namun lebih menyelerakan lagi apabila ‘dipiriki’ (ditambah) dengan lada padi dan makan bersama nasi putih, pastinya kenikmatannya tidak terkata.

Kuih Sumbui-Sumbui unik dan lazat

Selain menampilkan masakan-masakan kampung ala Kedayan, MPK berkenaan turut mengetengahkan kuih-kuih tradisi seperti Kelupis, Lapat, Dalamu dan Bikang. Salah satu kuih tradisi yang tidak kurang uniknya ialah Kuih Sumbui-Sumbui.

Menurut Hajah Timbang, dikenali dengan nama Sumbui-Sumbui disebab-kan kuih berkenaan disaluti luaran dengan tumbuhan Sumbui-Sumbui. Manakala bahan-bahan utamanya terdiri dari adunan tepung beras dan pisang yang telah dikisar atau dilenyek sehingga lumat dan kemudian digaul rata dalam air panas serta sedikit garam dan gula. Kemudian masukkan gabungan adunan yang sudah sebati itu ke dalam setiap tumbuhan Sumbui-Sumbui berupa acuan kecil yang telah dicuci sehingga bersih dan dikeringkan sebelumnya dan dimasak secara kukus.

“Menjadi harapan golongan emas seperti kami untuk melihat anak-anak muda pelapis bangsa Melayu sama-sama berjuang memartabatkan kulinari asli warisan Melayu dari zaman ke zaman, baik secara persendirian mahu pun perniagaan.

“Hal ini begitu penting disemai agar khazanah budaya bangsa ini akan terus diingati dan diperkenalkan serta sentiasa memenuhi cita rasa orang lama dan generasi muda di negara ini dan sekali gus dikenali di mata dunia. Segalanya adalah tanggungjawab kita bersama untuk bersatu supaya tidak pupus ditelan zaman,” ujarnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.