Pertahankan mahkota bangsa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Kemerdekaan yang telah dicapai sejak 36 tahun ini wajib terus dipertahankan dan dijaga dengan baik kerana kemerdekaan ini merupakan sebahagian daripada sejarah bangsa dan ia adalah mahkota bangsa yang menjadi asas kepada kedaulatan negara.

“Ingatlah, jika ia dicuaikan kemerdekaan yang telah dikecapi dan miliki ini, ia bermakna kita telah mencuaikan sejarah sekali gus menyambaranakan mahkota bangsa tersebut,” tegas khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, yang menyentuh mengenai Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

Khatib seterusnya menekankan, perjuangan dalam mengembalikan mahkota bangsa ini bukanlah satu yang mudah dan selaku bangsa Brunei perlu menghayati dan menoleh ke belakang untuk mengetahui sejarah mencapai kemerdekaan ini bagi mengetahui liku-liku perjuangan generasi terdahulu iaitu berdasarkan kecintaan mereka terhadap agama, nusa dan bangsa.

Ini kerana, daripada sejarah bermula dan daripada sejarah juga melakar nama dan inilah hebatnya sejarah.

Selaku anak watan dan bangsa Brunei yang merdeka, tegasnya, galas dan jawat amanah serta tanggungjawab yang besar dan berat ini yang bukan saja setakat memelihara dan mengekalkan mahkota bangsa Brunei tapi untuk terus berusaha membangun negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Ke arah mencapai dan memastikan wawasan tersebut dapat dicapai dengan jayanya, hendaklah menanamkan semangat kecintaan agama, raja dan bangsa selain bersatu padu dan bersatu hati untuk taat setia kepada raja dan negara, menjunjung tinggi agama Islam dengan penuh iltizam.

Setiap rakyat dan penduduk di bumi Darussalam yang bertuah ini perlu sama-sama berganding bahu menggembleng tenaga, mengambil peranan dan menjadikan diri mereka sebagai aset yang berguna dalam usaha untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat wawasan 2035.

“Janganlah dibiarkan wawasan 2035 yang ingin kita capai ini sebagai satu ucapan atau ristaan semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan saja. Akan tetapi kita mestilah tangkas melaksanakan dengan penuh keutamaan dan ilti-zam bagi menghasilkan impak yang tinggi dan boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara,” tegas khatib.

Di samping itu, tambah khatib, hendaklah memastikan setiap usaha yang dibuat adalah secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa, inilah rahsia atau kunci kejayaan bagi wawasan 2035.

Selaku rakyat dan penduduk yang bernaung dalam negara yang merdeka lagi berdaulat ini, semua dituntut untuk membebaskan diri daripada segala sikap yang merugikan seperti sikap suka berpeluk tubuh dan ketandusan semangat patriotik.

“Dalam tempoh 36 tahun ini, negara mencapai kemerdekaan, pelbagai onak dan ranjau yang telah ditempuhi untuk berjaya dan hasilnya hari ini, kita mampu berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain di dunia dan pada hari ini juga, kita berdiri sebagai sebuah bangsa yang merdeka dan bernegara yang berdaulat.”

Semua ini, ujar khatib, dapat dicapai dengan izin Allah dan atas kebijaksanaan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berwibawa, berwawasan, berintergiriti dan berasaskan calak Brunei yang tersendiri.

Keamanan hidup dan keamanan negara ini akan lebih berkesan apabila rakyat dan penduduk di sebuah negara sentiasa mengingati Allah dan bagi mempertahankan mahkota bangsa Brunei yang tercinta ini dan bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah atas limpah rahmat dan nikmat kemerdekaan ini, sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36
tahun.

“Marilah ramai-ramai hadir ke masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada petang Sabtu, 22 Februari bagi sama-sama menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran dengan tumpuan utama di Majid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara,” khatib menyeru.