BRASILIA, 19 Sept – Raquel Dodge kelmarin dilantik sebagai ketua pendakwa yang baharu sekali gus melakar sejarah tersendiri menjadi wanita pertama memegang jawatan itu dalam sejarah Brazil.
Beliau menggantikan Rodrigo Janot yang telah memegang jawatan itu selama empat tahun.
Dodge, 55, mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis di Brasilia yang turut dihadiri Presiden Brazil Michel Temer dan Presiden Mahkamah Agung Carmen Lucia. Menerusi ucapan sulungnya, Dodge berikrar “mempertahankan demokrasi, mengekalkan semua kebaikan sebelum ini dan menjamin tiada siapa yang boleh melangkaui undang-undang.”
Pelantikan beliau disifatkan pada ketika negara berada dalam tempoh sukar.
Beliau perlu meneruskan Operasi Lava Jato (Car Wash) membabitkan siasatan rasuah membabitkan syarikat minyak utama negara Brazil Petrobras yang menyaksikan lebih 100 ahli politik berdepan pertuduhan.
Dodge dilantik oleh Temer yang juga menghadapi tuduhan kali kedua kerana menghalang keadilan dan terlibat kegiatan haram, dikemukakan Janot minggu lepas. – Bernama/NNN