Pertama kali rasa hidangan tempatan menerusi penilaian BFA

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh yang baharu dilantik ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona berpeluang menikmati hidangan tempatan buat kali pertama di Restoran Aminah Arif, Jerudong, kelmarin.

Beliau dijemput oleh Anugerah Makanan Brunei (BFA) selaku hakim khas untuk menilai hidangan yang disajikan di restoran berkenaan di mana penglibatan beliau dalam BFA berkenaan, memberi peluang untuk merasakan sendiri makanan tradisi dan budaya di negara ini.

Di restoran berkenaan, Puan Yang Terutama berpeluang mencuba membuat ambuyat dan selaku hakim khas, beliau juga mencuba hidangan tempatan yang popular di restoran berkenaan.

Ini antaranya Nasi Lemak Ayam, Tumpi dengan Daging Rendang, Bubur Kacang dan Nasi Goreng Belacan.

Puan Yang Terutama juga dihadiahkan seragam cef daripada restoran berkenaan sebagai kenang-kenangan yang disampaikan oleh Pengurus Restoran, Awang Muhammad Nazri bin Haji Azahari.

PYT Nahida Rahman Shumona turut berpeluang mencuba menumpah ambuyat semasa membuat penilaian hidangan di Restoran Aminah Arif. – Gambar serahan BFA

Setelah membuat penilaian di Restoran Aminah Arif, Puan Yang Terutama bersama hakim BFA yang lain mengunjungi lapan buah restoran lain yang menyertai anugerah berkenaan.

BFA adalah anugerah makanan dan minuman pertama seumpamanya yang antara lain bertujuan untuk mempromosikan dan mengembangkan pertumbuhan industri makanan dan minuman di Brunei. BFA mengiktiraf dan secara rasmi menganugerahkan masakan tempatan dan antarabangsa terbaik di keempat-empat daerah di Brunei.

Aktiviti membuat penilaian makanan bagi BFA melibatkan tiga hakim yang diperakui termasuk seorang hakim khas untuk membuat penilaian ke atas hidangan disajikan oleh restoran-restoran.

Markah tertinggi yang diberikan untuk hidangan berkenaan akan menentukan kategori pemenang Anugerah Hidangan Terbaik 2020 yang mana penilaian dibuat berdasarkan standard Metodologi MAKAN yang digunakan oleh Kejohanan Makanan Dunia yang mengambil kira pelaksanaan, penampilan dan rasa hidangan.

Sebagai hakim makanan yang diperakui, hendaklah menjalani dan lulus peperiksaan yang juga ditetapkan oleh Kejohanan Makanan Dunia.

Setakat ini, hampir 200 buah restoran dan lebih 500 hidangan telah dinilai sementara itu, lebih 200 lagi yang akan dinilai bulan ini sebelum majlis rasmi BFA dijangka berlangsung pada Disember nanti.