Sunday, September 24, 2023
21.9 C
Brunei

    -

    Pertandingan beri peluang pesilat tunjuk bakat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Bagi menyokong usaha Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB) dalam perkembangan sukan pencak silat, lima buah pasukan akan beraksi dalam Pertandingan Pencak Silat Remaja Jemputan Sekolah Sukan ke-2, 2023 yang berlangsung di Dewan Sekolah Sukan, Kampung Pulaie, bermula hari ini hingga 11 Jun.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmian pertan-dingan berkenaan ialah Presiden PERSIB, Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan.

    Ketua Lembaga Pembangunan dan Perkembangan PERSIB, Awang Muhammad Ali-Rashid bin Haji Mohd Alipah dalam kata alu-aluannya menyatakan antara matlamat acara berkenaan diadakan adalah untuk memberi pesilat peluang menunjukkan hasil titik peluh usaha mereka sepanjang latihan dan bagi memupuk semangat kesatuan dalam kalangan pesilat-pesilat remaja.

    Ia juga, tambahnya, untuk mengongsikan ilmu dan pengalaman melalui pertandingan yang sihat dan seterusnya membina hubungan baik berkekalan di antara satu sama lain.

    “Walaupun hari ini, kamu mewakilkan pasukan-pasukan yang berlainan, Insya-Allah, di satu masa nanti, kamu akan berganding bahu, berdiri bersama dengan membawa bendera dan nama negara sebagai pasukan kebangsaan yang akan memperjuangkan nama baik negara kita di kejohanan-kejohanan serantau dan antarabangsa.”

    Majlis diteruskan dengan perasmian pertandingan oleh Pengiran Haji Abdul Karim yang seterusnya diperkenalkan kepada pasukan-pasukan yang bertanding iaitu Pasukan Sekolah Sukan, Pasukan Centre of Training Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum, Pasukan Skim Pembangunan Brunei Muara, Skim JBS Tutong dan Pertubuhan Gagak Hitam (PERGAH) Belait.

    Sebelum pertandingan dimulakan, pembukaan gelanggang telah dilakukan oleh mantan Ketua Jurulatih Pencak Silat Sekolah Sukan, Haji Adanan bin Ahad.

    Pada hari pertama, pertandingan dimulakan dengan acara Seni Tunggal Lelaki dan Perempuan.

    Pengiran Haji Abdul Karim semasa merasmikan pertandingan tersebut kelmarin. – Gambar serahan Sekolah Sukan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...