Pertandingan Beyblade diadakan secara online

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Awang Mimi Nazuwan bin Ibrahim daripada Pasukan Jakusha Bladers muncul juara pertandingan DBos Beys Beyblade Online 64 Slot ‘Battle of 20 Seconds’ setelah menewaskan Dayang Norhayati binti Latip daripada Pasukan Underground Beys dalam perlawanan akhir yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom sekaligus berjaya memenangi hadiah Oven 28L, Special Edition Beyblade Mask, permainan Beyblade, kupon penyertaan percuma, sijil dan hamper.

Manakala tempat ketiga disandang oleh Muhd Nabil bin Amiruddin daripada Jakusha Bladers dan tempat keempat dimenangi Awang Sharizmi Haniz bin Haji Sharbini daripada Pasukan Jakusha Bladers.

Sementara pemenang suku akhir ialah Awang Jurkanain bin Haji Husin, Abdul Yazid bin Haji Jamaludin, Mimi Nazwan bin Ibrahim dan Awang Junaidi bin Muhd Yussof.

Pertandingan Beyblade online 64 slot (pertempuran 20 saat) ini merupakan kali kedua diadakan melalui dalam talian yang mana peserta akan bertarung antara satu lawan satu daripada pusingan pertama, kedua, ketiga, suku akhir, separuh akhir dan peringkat akhir.

Lebih 25 orang pemain daripada pasukan-pasukan Beyblade di negara ini telah menyertai pertandingan tersebut, antaranya pasukan Undergroundbey (UG), Jakusha Bladers (JB), Ghostbeys (GB) dan Santai Aja Bladerz (SA).

Pertandingan Beyblade online ini yang diadakan semenjak gelombang kedua COVID-19 telah pun menarik minat penyertaan daripada berbagai-bagai peringkat umur seperti kanak-kanak, orang dewasa lelaki dan perempuan di mana ia juga salah satu inisiatif untuk memastikan orang ramai terutama penggemar permainan ini untuk terus berada di rumah masing-masing sekali gus menyokong usaha pihak kerajaan untuk memastikan penularan COVID-19 ini dapat dibendung. – DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam

Antara peserta-peserta yang hadir dalam pertandingan Beyblade yang diadakan secara maya itu. – Gambar serahan DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam