Pertandingan bina badan tonjolkan potensi atlet Gaza

GAZA – Ketika ribuan warga Palestin berkumpul di sempadan Israel untuk mengadakan protes mingguan baru-baru ini, ternyata terdapat di antara ratusan penduduk lain telah memenuhi dewan sukan di bandar itu bagi menyaksikan beberapa orang peserta lelaki yang bertanding dalam Pertandingan Bina Badan.

Tubuh gagah lelaki muda yang beraksi dalam pertandingan itu kelihatan berkilat memandangkan ia disapu dengan minyak bagi memperlihatkannya cukup sempurna terutama ketika mereka melenturkan tubuh badan dan melakukan aksi-aksi menarik di hadapan hakim pada pertandingan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Palestin.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan situasi tragis, namun saya tetap bersemangat untuk mengatasinya tidak kira sama ada dari aspek sosial dan ekonomi terutama dalam menceburi sukan ini sehingga saya berjaya mencapai kejayaan,” jelas Hamdi Wadi yang giat melakukan sesi latihan tekan tubi di kawasan belakang bagi memperkuatkan ototnya sebelum beraksi di hadapan hakim.

Seramai dua juta penduduk Gaza dilihat sering melakukan rutin harian yang menjadi keutamaan mereka terutama apabila negara itu berada di bawah sekatan Israel-Mesir selama beberapa dekad.

Kemiskinan, kekurangan pekerjaan, air yang tercemar, gangguan elektrik yang kronik dan kebebasan pergerakan yang terhad merupakan antara ciri kehidupan kebanyakan penduduk di Gaza.

Barisan atlet yang melakukan persiapan dengan melakukan latihan tekan tubi sebelum beraksi di dalam sesebuah pertandingan bina badan di Gaza. – AP
Hanya kaum lelaki sahaja yang dibenarkan untuk menyaksikan pertandingan bina badan di Gaza. – AP

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kekurangan dari segi latihan, kira-kira seramai 70 orang belia yang cukup bersemangat menyertai acara pertandingan itu selepas mengikuti diet ketat dan latihan secara berterusan.

Berbeza dengan pertandingan yang serupa di beberapa buah tempat lain di dunia, para peserta juga menggayakan seluar pada paras lutut seiring mengikut undang-undang syariah dan menghormati budaya konservatif di Gaza.

Di hujung pertandingan itu, Abdallah Al-Hour, 20 telah dinobatkan sebagai pemenang yang disaksikan oleh penyokong yang cukup gigih dalam memberikan semangat di mana kesemuanya adalah terdiri daripada kaum lelaki.

Selama tujuh bulan, Hamas telah mengadakan protes di sepanjang sempadan Israel, menuntut untuk mengakhiri sekatan yang menghalang kebanyakan penduduk Gaza daripada meninggalkan wilayah kecil mereka.

Jurulatih Ammar Abu Karsh menjelaskan bahawa kebanyakan atlet di Gaza juga telah mempersembahkan prestasi yang menarik namun malangnya mereka agak sukar untuk diketengahkan di dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

Rafat Shaheen dari Persatuan Bina Badan itu menjelaskan bahawa dia berharap para peserta dapat bersaing di luar negara dan mengibarkan bendera Palestin di peringkat antarabangsa.