Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Komitmen ASEAN dalam mempersiapkan belia ASEAN supaya menjadi bersedia untuk masa hadapan amat dialu-alukan dan ke arah itu, pertandingan ASEAN Data Science Explorers memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan minda kreatif belia dalam menangani isu-isu bersama dan masalah dengan penyelesaian yang inovatif, kreatif dan mampan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dalam ucapan penutup Pertandingan Akhir Serantau ASEAN Data Science Explorers 2021 yang didakan secara maya, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, majlis itu menyaksikan pengumuman para pemenang bagi pertandingan berkenaan.
Pertandingan ASEAN Data Science Explorers merupakan pertandingan analisis data tahunan yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan menghargai Komuniti ASEAN di kalangan belia ASEAN yang dianjurkan oleh ASEAN Foundation dengan kolaborasi SAP.
Pertandingan secara maya itu menyaksikan penyertaan daripada 10 buah negara anggota ASEAN di mana ia merangkumi pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi.
Dengan menggunakan SAP Analytics Cloud, para peserta digalakkan untuk menyampaikan pandangan berpandukan data yang mengetengahkan isu-isu dalam ASEAN merentas enam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu SDG 6- Air Bersih dan Pembentungan, SDG7- Tenaga Bersih dan Mampu Dimiliki, SDG 8- Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan yang Baik, SDG 11- Komuniti dan Bandar Raya Mampan, SDG 12- Produksi dan Penggunaan Mampan serta SDG 13- Tindakan Iklim.
Semasa pengumuman berkenaan, Thailand telah dinobatkan sebagai juara pertandingan dengan Kemboja di tempat kedua dan Malaysia di tempat ketiga. Tahun ini, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh sebuah pasukan pelajar dari Politeknik Brunei.