Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Sebanyak lima buah pusat tingkatan enam di Negara Brunei Darussalam bakal berentap dalam Pertandingan Debat GREAT, yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini.
Pertandingan Debat GREAT, yang akan diadakan pada 5, 6 dan 8 Februari, merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British. Sehubungan dengan itu, satu bengkel taklimat dan bimbingan telah diadakan hari ini bagi para pelajar yang mengambil bahagian, yang dijalankan oleh Adam Mokhtar dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, bertempat di Dewan Multimedia Theatre, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES).
Para pelajar yang hadir bagi bengkel tersebut adalah dari lima buah pusat tingkatan enam yang menyertai pertandingan itu iaitu PTES, Maktab Duli Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Ia dibukakan kepada pelajar-pelajar pra-universiti (Tahun 12 dan 13) daripada semua institusi pendidikan di Brunei Darussalam.
Di bengkel tersebut, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay telah memperkenalkan tema bagi pertandingan debat berkenaan, iaitu ‘Commonwealth: Towards a Common Future’.


Ia akan membahaskan 10 topik yang berkaitan dengan tema Komanwel antaranya ekonomi, persekitaran pendidikan, keusahawanan, tenaga boleh diperbaharui, wanita, belia yang mahir, pekerjaan dan perubahan iklim.
“Kami telah memilih ‘Komanwel’ sebagai tema bagi Pertandingan Debat GREAT ini. Kedua-dua United Kingdom (UK) dan Brunei adalah ahli kepada keluarga yang terdiri daripada 52 buah negara dan dengan Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (Commonwealth Heads of Government Meeting) yang diadakan di UK pada bulan April tahun ini, ini merupakan peluang bagi pelajar muda di Brunei untuk menyelidik dan membahaskan perkaitannya yang berterusan,” jelas Tuan Yang Terutama.
TYT Richard Lindsay kemudiannya berkata, “Pertandingan ini direka bagi membantu para pelajar untuk mengembangkan kemahiran debat mereka, membina keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai, membentuk hujah-hujah yang jelas dan memahami serta terlibat dengan perspektif orang lain.
“Ini seharusnya menjadi persediaan yang sangat membantu pelajar yang ingin pergi ke luar negara untuk pendidikan universiti mereka, dan saya menggalakkan mana-mana pelajar untuk mempertimbangkan peluang yang sangat baik ini di UK.”
Pada sesi taklimat itu juga, satu bengkel bimbingan telah dijalankan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Paul Rennie.
“Kemahiran berdebat yang saya ambil sebagai seorang pelajar telah menjadi alat kritikal dalam kerjaya saya. Mereka memberi saya keyakinan dan mengajar saya untuk mencabar dan berfikir kritis mengenai isu-isu yang mempengaruhi kita semua. Ia juga merupakan peringatan tentang pentingnya melihat pihak lain mengenai apa-apa hujah,” kongsi Paul Rennie.