Friday, April 18, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan e-Sukan hebat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Festival Disember Brunei (BDF) 2018 terus meriah apabila Pertandingan e-Sukan dan Dron telah diadakan di RBRC, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat acara anjuran Dojo Studio dengan kerjasama para penaja iaitu DST, YMRM, Peak Performance Sdn Bhd dan Suci Water berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Sebanyak 42 pasukan dengan lima orang sepasukan telah melibatkan diri dalam pertandingan e-Sukan bagi merebut hadiah wang tunai $300 bagi tempat pertama, $200 bagi tempat kedua, $150 bagi tempat ketiga dan hadiah sagu hati kepada pemenang keempat hingga ke-10.

    Pengarah Dojo Studio, Dayang Joanna binti Haji Osman dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa pertandingan yang disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan di bawah BDF berkenaan diadakan bagi membantu anak-anak muda untuk maju ke peringkat seterusnya yang lebih mencabar.

    Selain itu, Dayang Joanna juga menjelaskan bahawa permainan mudah alih ‘Rules of Survival’ dalam talian telah diadakan selama tiga hari sejak 28 Disember lalu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika diperkenalkan lebih dekat mengenai perlumbaan dron.
    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah sebuah pasukan yang terlibat.

    Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali telah menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta selepas melawat bilik permainan, di mana para peserta yang terlibat bertanding.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga melawat bilik pengulas bagi menyaksikan bagaimana mengendalikan pertandingan ‘Rules of Survival’ sebelum menyaksikan siaran langsung pertandingan ‘Rules of Survival’ yang dipaparkan pada skrin besar.

    Semasa acara itu juga, Yang Berhormat Dato diberikan taklimat mengenai perlumbaan dron secara lebih dekat, di mana Dojo Studio memfokuskan kepada mempertingkatkan kesedaran dan minat terhadap dron dan memberi peluang kepada orang ramai untuk belajar mengendalikan dron.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda