Pertandingan kembangkan kemahiran kaunseling

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Pasukan A yang dianggotai oleh Dayang Amal Nabilah binti Haji Kasah dan Dayang Nor Amirah Aziyah binti Hasdy muncul juara bagi Kategori Sivil, manakala Pasukan E yang dianggotai oleh Dayang Rabi’atul Adawiah binti Azman dan Dayang Khairul Atiqah binti Khairul Nurul Arsyad muncul juara bagi Kategori Syariah dalam Pertandingan Kaunseling Klien bagi 2021 yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 16 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, di sini, pertandingan itu diadakan melalui Persatuan Mahasiswa Syariah dan Undang-Undang UNISSA sesi 2020/2021 di mana pertandingan dirasmikan oleh Pemangku Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang UNISSA, Dr Sufri bin Haji Sudin.

Pertandingan itu disertai oleh 24 orang mahasiswa dan mahasiswi UNISSA di mana mereka dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan enam kumpulan menyertai Kategori Syariah dan enam lagi menyertai Kategori Sivil.

Bagi Kategori Sivil, tempat kedua dimenangi ialah Pasukan F iaitu Dayang Aisyah binti Muhammad Yusop dan Awang Muhammad Izzat bin Abidin dan tempat ketiga ialah Pasukan B iaitu Dayang Norsuziyani binti Abdullah dan Dayang Fatin Nazirah binti Morshidi.

Manakala itu, bagi Kategori Syariah, Pasukan A iaitu Dayang Rafeah binti Haji Ibrahim dan Dayang Nurul Nabilah binti Haji Matnoor menduduki tempat kedua diikuti oleh Pasukan C iaitu Dayang Nuur Afiqah Benjimin dan Dayang Siti Munirah binti Hanapi di tempat ketiga.

Penghargaan bagi kaunseling terbaik bagi Kategori Sivil disandang oleh Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam dan Dayang Aisyah. Bagi Kategori Syariah pula, kaunseling terbaik telah disandang oleh Dayang Khairul Atiqah binti Khairul Nurul Arsyad.

Kenyataan menyatakan bahawa hakim-hakim pertandingan berkenaan terdiri daripada peguam-peguam sivil dan syariah dari firma guaman di Negara Brunei Darussalam.

Majlis yang julung kalinya diadakan itu diharap akan dapat memberi peluang kepada para peserta untuk menyertai Pertandingan Kaunseling Klien sekali gus menimbulkan minat dalam apa jua bidang yang diceburi.

Pertandingan itu dihasratkan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan yang meluas mengenai fungsi kaunseling dalam undang-undang dan menggalakkan minat di kalangan pelajar untuk ikut serta mengembangkan kemahiran temu ramah dan kaunseling dalam praktikal undang-undang selain dapat melahirkan kemampuan serta kemahiran asas menemu ramah peguam dan klien melalui dalam masalah undang-undang.

Peserta-peserta yang menyertai pertandingan tersebut bergambar ramai. – Gambar serahan UNISSA