Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan kendali YSEALI dibuka

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam mengumumkan bahawa pertandingan terbuka untuk organisasi-organisasi menghadapkan permohonan bagi merangka dan melaksanakan Bengkel Generasi Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI): Memajukan Kesaksamaan Gender selama tiga hari.

    Kedutaan AS dalam kenyataannya hari ini, mengalu-alukan permohonan daripada organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di AS, Brunei dan luar negara, institusi Brunei-AS, swasta luar negara dan institusi pengajian tinggi kerajaan yang berminat untuk menghadapkan permohonan mereka bagi merangka dan melaksanakan bengkel berkenaan yang diharap dapat dilaksanakan pada April 2019.

    Kenyataan menjelaskan bahawa cadangan yang dikemukakan harus mempunyai naratif yang terperinci dan menyeluruh mengenai matlamat bengkel berkenaan serta mengetengahkan pengalaman dan kepakaran mereka di Asia Tenggara.

    Mereka yang berjaya dipilih bagi melaksanakan bengkel itu, jelas kenyataan itu lagi, bertanggungjawab untuk merangka struktur bengkel dan agenda yang diketengahkan dengan konsultasi bersama Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam dan Biro Hal Ehwal Pasifik dan Asia Timur, Jabatan Negara AS.

    Kenyataan menambah, di bawah tema penglibatan sivik, bengkel itu akan merangkumi penyertaan peserta lelaki dan perempuan yang berusaha untuk mencari sebab di sebalik ketidaksaksamaan jantina di Asia Tenggara serta untuk mencari kaedah-kaedah kerjasama untuk mengurangkan jurang jantina berkenaan.

    Usaha itu dipercayai akan menyediakan laluan bagi kerjasama yang kukuh bagi mempromosikan kemajuan wanita dalam masyarakat dan mengurangkan penggunaan stereotaip yang meletakkan wanita dalam peranan peringkat rendah.

    Menerusi bengkel itu juga, ia akan memberikan peluang bagi perkongsian pandangan serantau dan menjana peluang bagi membuat rangkaian bersama golongan lelaki yang berusaha untuk menegakkan kesaksamaan jantina.

    Bengkel yang dihasratkan untuk diadakan pada 2019 itu, akan disertai oleh kira-kira 50 orang belia yang berusia antara 20 hingga 35 tahun dari 11 buah negara anggota YSEALI iaitu TimorLeste dan 10 buah negara anggota ASEAN, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Filipina, Republik Demokratik Rakyat Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut serta proses permohonan, boleh melayari laman sesawang https://bn.usembassy.gov/.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda