Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Saintis wanita dialu-alukan untuk menghadapkan permohonan bagi pertandingan tahunan, Science Prize for Women ke-8 yang dikendalikan oleh Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI), ASEAN dengan kerjasama kerajaan Amerika Syarikat (AS), menerusi Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Underwriters Laboratories.
Pertandingan 2022 itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkembangan canggih oleh wanita dalam penyelidikan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu-isu mendesak dalam komuniti-komuniti ASEAN.
Calon-calon yang berkhidmat dalam bidang-bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan bertanding dalam satu daripada dua kategori iaitu saintis pertengahan-kerjaya (mid-career scientist) dan saintis senior, dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Underwriters Laboratories merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di AS yang mengetengahkan penemuan dan aplikasi ilmu pengetahuan saintifik, di mana para pemenang setiap kategori akan menerima hadiah berjumlah $12,500 dan finalis pula akan menerima $5,000.
Dengan mengetengahkan tema ‘AI dalam Kesihatan dan Keselamatan’, pertandingan bagi tahun itu menekankan peranan penting yang dapat dimainkan oleh AI dalam menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan lebih mampu untuk dimiliki kepada lebih 660 juta penduduk ASEAN.
Di samping itu, aplikasi AI mantap juga dapat mengukuhkan keselamatan alam sekitar di tempat kerja, meningkatkan sekuriti bagi sistem pemprosesan industri dan membantu menangani usaha pemulihan pandemik COVID-19 bagi membendung epidemik masa hadapan.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Penyelidik Underwriters Laboratories, Dr Christopher J. Cramer dipetik menyatakan bahawa Underwriters Laboratories akan terus menyokong kerja-kerja saintis wanita dalam rantau ASEAN menerusi hadiah sains berkenaan.
“Kami amat menghargai peluang untuk mengiktiraf saintis-saintis luar biasa ini dengan mereka berusaha untuk memanfaatkan AI bagi memperoleh manfaat ekonomi dan kesihatan jangka panjang yang saksama dan selamat bagi komuniti-komuniti di serata rantau ini,” ujarnya.
Sementara itu, Kuasa Usaha Misi AS ke ASEAN, Rachel Cook berkata bahawa AS amat bangga untuk mempromosikan bersama-sama dengan ASEAN dan Underwriters Laboratories, saintis-saintis wanita untuk memanfaatkan penyelesaian kecerdasan buatan untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan, kesihatan dan alam sekitar rantau.
Beliau menambah bahawa menerusi sokongan berterusan USAID bagi pertandingan tahunan itu, AS menekankan lagi komitmen untuk merapatkan jurang jantina supaya lebih ramai wanita dapat membantu membentuk kemajuan dalam bidang-bidang STEM.
Sementara itu, Pengerusi ASEAN COSTI dan Timbalan Menteri Sains dan Teknologi Vietnam, Bui The Duy berkata bahawa penyelidikan dan kerja-kerja dalam AI yang dikendalikan oleh saintis-saintis wanita yang berbakat rantau ASEAN bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada komuniti setempat tetapi yang lebih penting adalah membolehkan pelaksanaan semula penyelidikan berkenaan yang akan memperbaiki lagi kehidupan jutaan orang dalam rantau ASEAN.
Sejak 2014, Science Prize for Women merupakan salah satu inisiatif berterusan AS yang berjaya dalam menyokong ASEAN dan 10 buah negara anggotanya di mana ia adalah sebahagian daripada pendekatan strategik AS kepada Indo-Pasifik di mana USAID bekerjasama dengan ASEAN untuk mempromosikan kemakmuran dan sekuriti menerusi penyertaan ekonomi, memperkasakan wanita dan urus tadbir yang baik.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan dan proses permohonan, pemohon-pemohon yang berminat digalakkan untuk melayari laman sesawang, Underwriters Laboratories-ASEAN-U.S. Science Prize for Women di mana tarikh tutup bagi permohonan ialah 18 Mac depan. Pemohon yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai pertandingan itu boleh menghantar e-mel kepada scienceprize4women@gmail.com dan bagi pendekatan orang ramai, hubungi menerusi jakartausaidasean@usaid.gov.