Pertandingan penjenamaan semula NFABD dibukakan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) ingin mengalu-alukan penglibatan individu dan pasukan daripada bidang kreatif untuk penjenamaan semula NFABD dengan mereka logo baharu berserta nama persatuan.

Menurut NFABD, pertandingan adalah dibukakan kepada seluruh warga negara ini dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

Semua logo-logo yang dipertandingkan mestilah logo asli dan belum pernah dipertandingkan di mana-mana pertandingan.

Para peserta juga dimestikan untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai rekaan dan nama yang telah dihantar untuk pertandingan tersebut.

Dari segi keperluan teknikal, para peserta hanya dibenarkan untuk memilih tiga jenis warna bagi setiap logo dan nama persatuan mestilah dieja dengan huruf jawi.

Nama yang dicadangkan bagi logo baharu itu mestilah mengandungi nama Negara Brunei Darussalam.

Logo NFABD yang ada pada masa ini mempunyai sebiji bola di bahagian tengah dan dilingkari dengan daun laurel dengan warna hijau muda.

Bulatan logo turut mempunyai warna hijau gelap dan hitam serta tulisan nama dalam Bahasa Inggeris dan Jawi.

Idea bagi membuat slogan komited dan perpaduan, yang disertakan dengan logo, adalah diambil daripada mesej ‘komited ke arah bola sepak dan perpaduan di dalam sukan-sukan’.

Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) ingin mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pertandingan penjenamaan semula bagi memberikan nama dan rupa baharu.