Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Pertandingan seni grafiti mulai esok

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Para penggemar seni grafiti tempatan akan berpeluang untuk berinteraksi dan menyaksikan sendiri karya seni artis-artis seni grafiti tempatan dan dari luar negara yang akan beraksi menunjukkan kemahiran dan bakat masing-masing dalam Pertandingan Seni Grafiti, WRITE THIS 2017 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu esok (21 Julai) dan 23 Julai.

Pertandingan anjuran STAIN itu akan berlangsung di Skatedium, Taman Budiman, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pertandingan seni grafiti yang diadakan buat kali kedua setelah sambutan yang amat menggalakkan pada 2016 itu mengetengahkan penyertaan artis-artis seni grafiti yang menunjukkan gaya, keaslian, kreativiti dan kemahiran teknikal mereka dalam menghasilkan karya seni mereka.

Seramai 20 orang artis seni grafiti tempatan dan luar negara iaitu dari negara jiran, Malaysia akan menyertai pertandingan itu di mana antara artis tempatan yang bakal beraksi ialah Budi’One, Drips, Duke, Dope’One, Gob’One, Jest, Kymia, Nerdink, P’Nut, Sketch’One, SPQ, Syck’Two, Taser dan Trank.

Manakala itu, artis-artis dari negara jiran yang akan turut beraksi termasuk Amey dari Sarawak, Cracko dari Sabah, Dean R dari Sarawak, Mytho dari Ipoh dan Phey dari Sabah.

Para peserta akan bertanding membuat rekaan seni grafiti masing-masing berdasarkan kepada perkataan yang terpilih bagi menentukan peserta terbaik dan juara bagi pertandingan itu.

Pertandingan akan dihakimi dari segi gaya, keaslian, kreativiti, penggunaan warna, pembentukan huruf dan teknik semburan cat oleh para artis antarabangsa termasuk Suiko dari Jepun, Slac’Satu dari Singapura, Hard’13 dari Indonesia serta hakim tempatan iaitu Nycer pemenang Write This 2016 dan Tag’One iaitu pengasas STAIN.

Bagi sebilangan besar peserta terutama peserta muda, pertandingan itu memberikan peluang kepada mereka untuk bertemu dan berinteraksi dengan artis-artis seni grafiti antarabangsa serta memberikan peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam bidang seni berkenaan.

Orang ramai yang berminat adalah dialu-alukan untuk hadir memeriahkan lagi acara berkenaan di mana mereka bukan sahaja berpeluang untuk menyaksikan artis-artis seni grafiti tempatan dan luar negara beraksi dalam pertandingan itu tetapi juga berpeluang untuk berinteraksi dengan artis-artis berkenaan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -