Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Salah sebuah kelab sukan di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Kelab Ragbi UBD telah mengadakan Pertandingan Tahunan Pertama Sharks Women Touch, kelmarin, bersempena dengan memperingati tertubuhnya Persatuan Sharks Women Touch pada tahun lepas.
Pertandingan berkenaan yang telah berlangsung di Padang A UBD, Kompleks Sukan UBD, telah disertai oleh seramai 20 pasukan jemputan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan ialah Penolong Pegawai Kegiatan Luar Kurikulum UBD, Demigo bin Kapal.
Pertandingan berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Terbuka Lelaki dan Kategori Terbuka Perempuan.
Bagi Kategori Terbuka Lelaki, pertandingan telah dijuarai oleh Pasukan Vipers, tempat kedua dimenangi oleh Lost Boys, dan Sharks pula menyandang tempat ketiga.

Manakala bagi Kategori Terbuka Perempuan, Pasukan UTB Vanguards telah merangkul juara, manakala Pasukan Vipers meraih tempat kedua, dan Pasukan Hammerheads berada di tempat ketiga, sementara pasukan tuan rumah, UBD Sharks Women Touch berada di tempat keempat.
Dengan mengadakan acara ini, Kelab Ragbi secara tidak langsung menunjukkan komitmen kelab sebagai salah sebuah anggota universiti dan ingin mengeratkan lagi hubungan dengan kelab ragbi yang lain.
Tujuan utama acara ini dijalankan adalah untuk mengeratkan hubungan dengan kelab ragbi yang lain dengan bersempenakan tertubuhnya Persatuaan Sharks Women Touch buat kali pertama di dalam sejarah Kelab Ragbi UBD.