Pertandingan tekankan kepentingan menderma darah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 15 JUN – Berikutan kejayaan besar kempen menderma darah yang dijalankan kelmarin, Art of Living (AoL) Brunei telah memulakan satu siri pertandingan untuk meraikan kejayaan berkenaan yang bertujuan untuk mengetengahkan matlamat menderma darah iaitu membantu menyelamatkan nyawa.

Dijadualkan berjalan selama sebulan bermula kelmarin, pertandingan bukan sahaja dibukakan kepada para penderma darah malah semua orang yang berminat.

Pertandingan dibukakan dalam beberapa kategori, kesemuanya bertujuan untuk menekankan kepentingan menderma darah bagaimana ia boleh membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Dengan tema ‘Satu Dunia, Satu Darah, Satu Keluarga’, pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang boleh menghantar lukisan atau karya yang diwarnakan selaras dengan tema berkenaan, manakala itu, kanak-kanak berusia 12 hingga 16 tahun pula boleh menghantar esei tentang tema.

Bagi orang dewasa pula, mereka boleh menyertai pertandingan dengan menghantar video mengenai sebab-sebab mereka menderma darah serta sebarang pengalaman mereka atau ahli keluarga yang menerima darah untuk membantu masalah kesihatan.

Kakitangan perubatan juga diberikan perhatian yang mana mereka juga boleh menghantar video-video menunjukkan mereka menganjurkan kempen-kempen derma darah serta berkongsi sebab mereka berada di barisan depan dalam mengumpulkan darah.