Pertanian pemangkin generasi muda

Oleh Nurdiyanah R.

Pertanian dan manusia tidak dapat dipisahkan kerana dengan pertanian manusia masih boleh bernafas di dunia ini. Hasil daripada pertanian dan industri usaha tani dapat memberi banyak manfaat kepada manusia kerana dari situlah terhasilnya sumber makanan yang diperlukan oleh manusia.

Oleh itu, menyedari akan pentingnya sektor pertanian ke arah kerjaya yang mampu memberikan pendapatan lumayan dan secara tidak langsung sebagai pemangkin semangat berdikari dalam kalangan belia dan beliawanis di negara ini, Kemari Farm dilihat semakin progresif mengorak langkah menerokai bidang pertanian berkonsepkan rumah hijau setelah memenangi Program Belia Membasmi Kemiskinan anjuran Bank Standard Chartered Brunei (SCB) dengan kerjasama Futuremakers dan Society for Community Outreach and Training (SCOT) pada bulan November tahun lepas.

“Dengan hasrat untuk membuka minda masyarakat bahawa pertanian sebagai kerjaya pilihan utama yang juga layak bagi golongan muda untuk sama-sama berusaha ke arah menjamin semangat hidup berdikari dari semasa ke semasa, itulah matlamat utama kami dalam menjalankan sektor pertanian ini,” ujar Awang Mohd Hafizuddin bin Haji Awang Damit selaku ketua pegawai eksekutif dan juga pengasas bersama Kemari Farm semasa ditemui Media Permata di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kampung Tanah Jambu, baru-baru ini.

Penerima Geran $10,000 SCB

Syarikat perusahaan bidang pertanian yang dikendalikan oleh lima orang belia tanah air itu telah menerima geran berjumlah $10,000 dari Bank Standard Chartered (SCB) setelah mengikuti beberapa peringkat penilaian terperinci bersama para peserta program berkenaan.

Penerimaan anugerah geran itu bagaikan pencetus semangat juang mereka untuk lebih mengembangkan potensi penghasilan produk pertanian mereka dari hari ke hari.

Kemari Farm semakin progresif menerokai bidang pertanian berkonsepkan rumah hijau setelah memenangi Program Belia Membasmi Kemiskinan anjuran Bank Standard Chartered Brunei dengan kerjasama Futuremakers dan Society for Community Outreach and Training (SCOT) pada November tahun lepas.

Hasil produk pertanian utama yang diketengahkan oleh Kemari Farm ialah selada dengan mengaplikasikan penanaman bersistem hidroponik sehingga ke peringkat penyaliran yang kini secara tidak langsung semakin giat membantu para PKS tempatan untuk mendapatkan hasil produk pertanian yang segar menghijau untuk keperluan bahan-bahan perusahaan makanan dan minuman mereka berkonsepkan kulinari sihat.
Antara benih sayur-sayur segar yang diusahakan oleh Kemari Farm.

Hal ini secara tidak langsung membuktikan sektor pertanian bukan hanya menjadi ‘milik’ kerjaya bagi mereka yang berusia sahaja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCB, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim turut mengemukakan pandangan bahawa sememangnya menerusi program berkenaan, ia merupakan salah satu platform yang terbaik antara SCB dan SCOT untuk sama-sama memperkasa generasi muda di negara ini dalam aspek pembangunan yang bukan hanya dari perspektif perniagaan, tetapi ia juga sebagai landasan terbaik untuk peluang pekerjaan.

“Apa yang menjadi hasrat terbesar kami ialah bukan hanya bantuan berbentuk kewangan bahkan perkongsian segala pengetahuan asas dalam bidang kewangan turut diketengahkan kepada mereka demi untuk mewujudkan perniagaan yang lebih baik.”

Tambahnya dengan penuh keyakinan semasa mengadakan lawatan buat julung kalinya sejak anugerah diberikan kepada Kemari Farm.

Bersama membantu para PKS tempatan

Awang Mohd Hafizuddin menyatakan bahawa hasil produk pertanian utama ialah selada dengan mengaplikasikan penanaman bersistem hidroponik sehingga ke peringkat penyaliran. Dalam pada itu, hasil produk pertanian kini bukan hanya dijual kepada orang ramai bahkan juga kepada beberapa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

“Bersama membantu para PKS tempatan, itulah fokus utama kami dalam membantu mereka untuk mendapatkan hasil produk pertanian yang segar menghijau untuk keperluan bahan-bahan perusahaan makanan dan minuman mereka dengan berkonsepkan kulinari sihat seperti selada untuk sandwic dan juga daun pudina untuk penghasilan minuman mojito segar,” tambahnya yang turut memiliki perancangan untuk memulakan penanaman asparagus di projek rumah hijau berkenaan.

Pencetus impak positif keusahawanan belia

Sehubungan dengan itu, Awang Anwar Mohammad selaku pengerusi SCOT turut mengungkapkan perasaan bangga dengan semangat juang dan usaha yang ditampilkan oleh Kemari Farm yang sememangnya sesuatu yang secara tidak langsung dapat memberi impak positif dalam kalangan keusahawanan belia di negara ini.

Sebelumnya, Program Belia Membasmi Kemiskinan telah disertai oleh 50 peserta yang terdiri daripada 10 kumpulan untuk mengambil bahagian dalam bengkel dan forum selama tiga hari termasuk sehari di PPB untuk berinteraksi dengan golongan belia bagi memahami mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh golongan belia dalam memperoleh peluang bagi mereka.

Daripada 10 kumpulan itu, lima kumpulan dipilih untuk ke pusingan seterusnya bagi membentangkan idea-idea mereka sebelum dua kumpulan dipilih untuk menerima geran berkenaan diikuti dengan sesi pemantauan dan juga bimbingan pakar perusahaan sosial tempatan dan serantau untuk membantu idea perniagaan mereka untuk terus berkembang.