Pertanian rock melon jana pendapatan lumayan

TUARAN – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran melakar kejayaan tersendiri, apabila projek penanaman rock melon fertigasi yang diusahakan di daerah itu, berjaya mengeluarkan hasil sehingga tiga kali setahun, sejak tahun 2014.

Projek yang menerima suntikan dana dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah itu dijalankan dalam rumah pelindung hujan dan serangga perosak di kawasan seluas 0.12 hektar berhampiran pejabat PPK di Berungis, di sini.

Pengarah LPP Sabah Anita Misuari berkata, projek penanaman rock melon menerusi kaedah fertigasi di PPK Tuaran itu bermula dengan hanya 250 pokok untuk tanaman pertama, tujuh tahun lalu dan kini meningkat dua kali ganda kepada 500 pokok.

Katanya, melalui sistem pembajaan dan pegairan yang efisien, projek berkenaan mampu mengeluarkan buah berkualiti sekali gus mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

“Sebelum ini, rock melon PPK Tuaran dinamakan ‘permai lima’ tidak begitu dikenali di pasaran tempatan malah pembeli lebih gemar membeli buah dari Semenanjung “Namun kini, penduduk Sabah sudah mula mengenalinya, sehingga menyebabkan permintaan semakin meningkat,” katanya kepada media selepas meninjau projek tanaman itu di sini, baru-baru ini.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah, Anita Misuari, meninjau ladang rock melon milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran, menggunakan kaedah fertigasi. – Bernama

Mengulas lanjut Anita berkata, penjagaan tanaman rock melon yang mampu mengeluarkan hasil matang dalam tempoh 60 hingga 75 hari itu sebenarnya agak rumit, kerana  ia tidak boleh terdedah secara berlebihan pada cahaya matahari mahupun hujan.

“Saya berharap PPK Tuaran akan menjadi peneraju pengeluaran rock melon di Sabah sekali gus mempelbagaikan lagi pengeluaran produk berkenaan. Kita juga sedang berusaha mempergiatkan lagi pengeluaran buah berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan projek penanaman rock melon di Tuaran ini, ekoran usaha LPP Sabah yang mengambil inisiatif menghantar kakitangan PPK Tuaran ke Semenanjung untuk mempelajari kaedah penanaman rock melon secara fertigasi.

Anita berkata, sejumlah 13,500 kilogram (kg) rock melon berjaya dihasilkan di PPK Tuaran dalam tempoh setahun dengan setiap kali tuaian seberat kira-kira 4,500 kg.

“Rock melon PPK Tuaran dijual pada harga antara RM10 dan RM12 sekilogram dan dipasarkan di pasar tamu mingguan dan pasar raya dengan anggaran pendapatan bernilai RM45,000 bagi setiap tuaian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PPK Tuaran Griffite Lidung berkata, rumah pelindung tanaman untuk penanaman rock melon dengan kaedah fertigasi itu, menggunakan pengairan titis automatik yang dibangunkan dengan kos RM100,000, menggunakan dana yang diterima daripada LPP. – Bernama